Di Ciptakan Kita UNTUKNYA

Thursday, April 7, 2011


PADA waktu Rasulullah S.A.W mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa.

Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w:

"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"

Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.

Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang. Padang bola pula bersebelahan masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan. Inilah yang dilarang Nabi.
Firman Allah :

Maksudnya :Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. ( al – A’raf : 179 )

Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat, qada' saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.

Pertama: Tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya

Firman Allah bermaksud: 

 "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (adz-Dzaariyat: 56)

Jika tugas lain kita boleh ingat, ini kan pula tugas ibadah yang lebih utama dan lebih-lebih lagi kita wajar mengingatinya.

Kedua: kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma.

Firman Allah :

Maksudnya : Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani ( an-Nahl : 18 )

Zaman sekarang tidak ada yang percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong.

Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga: Wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh.

Firman Allah

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." ( al-A'raaf:172)

Keempat: Kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita.

Firman Allah :

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (an-Nahl: 36)

Kelima:Kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.
Maksudnya: “Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa menciptakan pendengaran dan penglihatan, atau siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab: Allah. Maka katakanlah: Kenapakah kamu tidak bertaqwa (kepada Allah SWT)? (Yunus: 31)


Keenam:Kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah:

Maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (al-An'am: 15)

1 comments:

falah said...

cmne nk share artikel ni kt facebook, ye?

Post a Comment