Masa Itu Nyawa

Monday, February 28, 2011


Oleh Pahrol Mad Juoi

Antara bekalan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah nyawa. Dengan nyawa kita hidup dan dengan hidup itu kita diberi peluang untuk melaksanakan misi hidup kita. Justeru, kita perlu bersyukur jika masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Nyawa (hidup) ini sangat berharga. Nyawa ini adalah “modal” untuk meraih keuntungan di dunia dan di akhirat. 

Oleh sebab itu nyawa termasuk dalam 5 perkara yang diletakkan dalam kategori dharuriyat bersama-sama dengan agama, keturunan, aqal dan harta. Selepas kita bangun daripada tidur, kita disunatkan berdoa dengan doa ini:

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Doa ini secara langsung mengingatkan kita tentang nikmat hidup. Tanpa nikmat hidup, kita tidak berpeluang untuk membuat kebaikan, meraih pahala dan seterusnya mendapat syurga. Prof Dr. Yusuf Al Qardhawi pernah menulis:

“Setiap inci tanah di muka bumi ini adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga.”

Ingatlah, hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari Akhirat. Kebaikan di akhirat tidak akan dapat diraih tanpa kehidupan di dunia. Justeru, di dalam Islam kita dilarang “meminta’ mati apatah lagi membunuh diri. Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian. Kalau dia seorang berbuat kebaikan, mudah-mudahan bertambah kebaikannya, dan kalau dia orang berbuat salah, mudah-mudahan dia bertaubat.” (Riwayat Bukhari).

MENGHARGAI MASA

Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa hakikatnya adalah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras mengikut tujuan ia dikurniakan hakikatnya “membuang” nyawa sendiri. Lihat betapa Allah sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu ciptaan Allah dan sekali-kali ia tidak memberi kesan ke atas-Nya.

Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya, Allah telah berkali-kali bersumpah dengan masa (Surah Al Asr) dan juga kejadian-kejadian yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat pentingkan masa.

Begitu juga diterangkan Allah suka para hamba-Nya mendirikan solat pada waktu 2/3 malam (dinihari). Ini menunjukkan bahawa di sisi Allah ada waktu-waktu yang tertentu yang lebih disukai-Nya. Ada juga diberitakan dari hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang mana doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini menunjukkan betapa Allah sangat “prihatin” dengan masa.

ISLAM DAN MASA

Al hasil, dalam ajaran Islam, ibadat-ibadat kerap dikaitkan dengan masa. Umpamanya, sembahyang ada lima waktu, puasa wajib hanya setelah muncul anak bulan Ramadhan. Begitu juga dengan Hari Raya, ibadat haji dan sebagainya – semuanya ada waktu-waktu yang telah ditentukan. Untuk menentukan waktu-waktu ini, secara tidak langsung Allah memerintahkan kita sentiasa perjalanan bulan dan matahari sekali gus agar umat Islam akan sentiasa peka dan mementingkan masa.

Selain itu dengan selalu melihat perjalanan masa (bulan, matahari, siang, malam) akan tersingkaplah rahsia kebesaran Allah sebagai Pengkarya yang paling agung dan sempurna. Bertitik-tolak sikap inilah berkembangnya pelbagai disiplin ilmu berasaskan pengamatan terhadap masa. Antaranya, ilmu sains dan matematik. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam menjadi “imam” dalam ilmu sains dan teknologi satu ketika dulu. Ironinya, kini kita ketinggalan. Ya, mungkin akibat tidak “mementingkan” perjalanan masa seperti umat terdahulu!

BAGAIMANA MENGHARGAI MASA = NYAWA?

Ramai orang mengalami masalah bagaimana mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara automatik. Misalnya, waktu sembahyang. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat 5 waktu, terlalai dalam hidupnya?

Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. Seperti yang ditegaskan sebelumnya bahawa Allah ciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi. Jika dinisbahkan tempoh hidup di dunia (katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti)… nisbah 1: 1,000 000 pun belum memadai. Kalau diibaratkan berniaga, modalnya cuma seringgit tetapi potensi mendapat untungnya berlipat ganda hingga sejuta ringgit apakah kita akan abaikan atau sia-siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.

BAGAIMANA MENILAI MASA?

Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, kalau banyak masa yang buang sia-sia. Mereka yang mensia-siakan masa adalah orang yang “bankrap “dalam “perniagaannya” dengan Tuhan. Benarlah kata Sayidina Ali:

“Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, ia yang akan memancung kamu.”

Anehnya, masa tidak diukur melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus dan untuk apa ia digunakan. Imam Nawawi RH misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah, hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai “sangat luar biasa” bukan sahaja dari segi kerelevanan dan ke signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!

Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn aziz RA yang begitu pendek (hanya sekitar dua tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintahan yang sangat mirip dengan Khulafa' Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya – Umar Ibn Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain.

Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu “mencemburui” tempoh masa berjihad dan beribadat menerusi turunnya surah Al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat nabi Muhammad SAW) melebih 1000 malam.

Kuantiti masa tidak boleh “dipanjangkan” tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Misalnya, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa sesiapa yang bersolat jemaah Isyak dan Subuh, maka dia seolah-olah telah beribadah sepanjang malam. Juga bagi orang yang berfikir sesaat hingga terasa kebesaran Allah lebih baik daripada beribadah selama setahun!

ANCAMAN MASA

Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”

Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).

Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.

Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun – Life begin at forty.”

Jadi kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!

Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:

“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati"

Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.

TUJUAN HIDUP ASAS PENGURUSAN MASA

Menguruskan masa dengan baik, bermula dengan penetapan tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita? Ini adalah persoalan asas yang mesti diselesaikan sebelum menguruskan masa. Ya, seperti yang ditegaskan pada awal-awal lagi, tujuan hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifah. Untuk mencapai tujuan ini seluruh aktiviti kita hendaklah sentiasa tertakluk kepada hukum Allah.

Tegasnya, kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram dan makruh kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau “lagha”, juga kita tinggalkan. Oleh itu, jika hidup diatur mengikut syariat, maka secara automatik masa kita akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik, benar dan betul yakni yang halal, harus dan sunat.

Malah kita juga dituntut untuk memilih antara dua perkara yang boleh dilakukan mana yang lebih utama? Misalnya, bila bertembung antara mengerjakan umrah dengan membantu orang yang susah, maka lebih utama kita dahulukan membantu orang yang susah.



MENYUSUN HIDUP

Sebenarnya jika kita melaksanakan hukum-hakam Islam, maka secara automatik masa akan terurus dengan baik. Ini kerana kebanyakan hukum-hakam Islam sangat mementingkan ketepatan dan pengamatan terhadap masa. Contohnya, solat lima waktu. Ia punya waktu-waktunya tersendiri. Jika kita hendak solat Subuh misalnya, maka kita akan bangun awal dari tidur. Kita tidak akan tidur berlebihan hingga bangun lewat. Untuk bangun tidur awal tentulah kita tidak akan berjaga hingga larut malam.

Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji semuanya mempunyai had masa bagi pelaksanaannya. Tegasnya, apabila seseorang itu menjaga solat, puasa, zakat dan hajinya maka seluruh persoalan hidupnya akan terurus dengan baik. Atau dengan kata-kata yang lain, dia telah menguruskan nyawanya dengan cekap dan berkesan!

Kempen Demi Masa


Islam amat menitikberatkan umatnya agar menghargai masa.Allah SWT telah berkali - kali menegaskan dalam al-Quran bahawa masa itu amat berharga dan mereka yang mensia-siakan masa hidupnya akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat. Masa adalah anugerah Allah yang perlu dimanfaatkan dengan sewajarnya dengan merancang dan mengurus dengan sebaiknya.

Justeru, Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah BADAR telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Kempen Demi Masa untuk mempertingkatkan tahap pengurusan masa pelajar SMKA SHAMS

Objektif
  • Mendidik warga SHAMS agar menepati masa
  • Membentuk para pelajar agar menggunakan masa dengan sebaik - baiknya
  • Melahirkan pelajar yang benar - benar mengerti dan menghargai masa
Tema
" Masa itu Nyawa "

Tempoh pelaksanaan
Mac - Mei

Diharap kempen yang dilaksanakan dapat memberi impak yang positif kepada warga SHAMS.

Tahniah dan Selamat Menjalankan Tugas

                                             Pn. Nahayati                            Pn. Sawiyah

28 Feb -Murobbi BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said ingin mengucapkan tahniah kepada Pn. Sawiyah binti Zainal atas pelantikan menjadi guru tetap Tingkatan 6. Begitu juga kepada Pn. Nahayati binti Abd. Ghani yang turut dilantik sebagai guru tetap Tingkatan 6. Pn. Nahayati sebelum ini merupakan Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMKA SHAMS bagi sesi 2010/2011.

Pn. Sawiyah dan Pn. Nahayati merupakan Murobbi BADAR yang banyak membantu dan menyumbangkan tenaga bagi melancarkan pelaksanaan gerak kerja BADAR sesi 2011.

Dikesempatan ini juga murobbi BADAR turut mengucapkan tahniah kepada En. Abd. Razak bin Ibrahim yang merupakan guru pakar sejarah atas kenaikan pangkat dan selamat berpindah ke SMAD Klana Petra Ma'mor,Ampangan. Semoga En. Abd Razak dapat menjalankan tugas dengan baik ditempat yang baru.

Pidato " Raja Kita"

Wednesday, February 23, 2011



23 Feb - Warga kerja Murobbi Badan Agama,akhlak, Dakwah dan Rohani ( BADAR ) SMKA Sheikh Hj. Mohd Said mengucapkan tahniah dan syabas kepada Muhammad Al-Fateh bin Ibrahim dan Nur Fazira binti Aminordin kerana berjaya menjadi Johan Pidato "Raja Kita" kategori lelaki dan Naib Johan Pidato "Raja Kita" kategori perempuan bagi peringkat Negeri Sembilan.

Pidato " Raja Kita" merupakan program Jabatan Pelajaran N.9 yang diadakan sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pihak Murobbi BADAR SMKA SHAMS sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada Al-fateh dan Fazira yang juga merupakan Nuqaba Usrah bagi sesi 2011.

Tahniah dan Syabas buat calon STPM 2010

Monday, February 21, 2011



Pihak Murobbi BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said ( SHAMS ) ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada calon - calon STPM 2010 yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM.Walaupun pencapaian yang diharapkan tidak tercapai namun ia sudah cukup membanggakan.

Diharap ia menjadi pembakar semangat bagi calon - calon STPM 2011 agar berusaha dengan lebih gigih dan bersungguh - sungguh agar kejayaan yang cemerlang menjadi milik anda.

Bagi pelajar - pelajar STPM 2010 yang kurang berjaya,teruskan usaha anda untuk menceburi bidang - bidang yang dirasakan sesuai dengan diri anda.InsyaAllah,pihak Murobbi BADAR yakin dan percaya anda mampu mencapai kecemerlangan hidup jika anda tidak berputus asa!

Buat akhirnya, tahniah dan syabas sekali lagi buat semua calon STPM 2010!

Formatif 1 2011

Saturday, February 19, 2011


19 Feb - Demam peperiksaan kembali menjelang,berdasarkan Takwim Peperiksaan SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban Ujian Formatif 1 bakal dilaksanakan bermula 21 Feb 2011 ( Isnin ) - 25 Feb 2011 ( Jumaat ).Kami diperingkat Murobbi BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, 2011 mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Formatif 1 kepada seluruh pelajar SMKA Sheikh Hj. Mohd Said. Diharap para pelajar bersedia dari sudut mental dan fizikal agar dapat menjawab dalam keadaan yang kondusif. Kami juga mendoakan semoga para pelajar dapat menjawab dengan cemerlang.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H

Tuesday, February 15, 2011

Saff Murobbi Badan Agama,Dakwah, Akhlak dan Rohani ( BADAR ) SMKA Sheikh Hj. Mohd Said,Seremban ( SHAMS ) mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H khusus buat warga SMKA SHAMS dan seluruh umat Islam di Malaysia umumnya. Mudah- mudahan kita dapat mengamalkan segala perkara yang rasulullah S.A.W perintahkan untuk dilaksanakan dan meninggalkan segala perkara yang baginda tegah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan apa jua perintah yg dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kpd kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yg dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kpd Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi org-org yg melanggar perintahNya".( al-Hasyr:7)

Risalah Khas Mahabbatul Rasul : Cinta Kita VS Cinta Rasulullah S.A.W

Thursday, February 10, 2011

Di hari kebesaran yang bersejarah ini, marilah kita bermuhasabah kembali, bertanyakan diri sendiri, setahap manakah perasaaan kasih dan cinta kita terhadap Nabi Muhammad SAW yang kita imani selama ini. Melahirkan rasa cinta kita terhadap Nabi SAW bukan sahaja diluahkan melalui kata-kata di bibir sahaja tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Ia mestilah juga dizahirkan dengan perbuatan dan amalan berdasarkan keimanan dan cinta yang mendalam terhadap Rasulullah SAW dalam hati kita. 

Ingatlah, beriman kepada Nabi juga mesti sampai ke peringkat mencintai baginda, ikut melakukan apa yang Nabi buat, bukan pilih-pilih tetapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan Nabi adalah wahyu daripada Allah. Kita kata kita cintai Nabi tapi setahap mana kita mengamalkan sunnahnya? Setahap mana kita menjadikan al-hadith sebagai panduan dalam hidup? Setahap mana ikutan kita kepada ajaran baginda? Tepuk dada, tanya iman. Buka hati, buka mata, buka telinga.

Kita seringkali mendengar kisah kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya namun bagaimana pula kasih sayang kita kepada baginda? Kita balik ke pangkal jalan, tanya diri sendiri. Kalau kita mencintai seseorang, bagaimana kita menunjukkan rasa cinta kita kepada si dia? Bagaimana perasaannya apabila kita mecintai dan dicintai seseorang? Tanyalah kepada mana-mana individu yang pernah atau sedang bercinta, bila bercinta, walaupun berjauhan rasanya dekat, walaupun berat rasanya ringan, sanggup berkorban tenaga, masa dan wang malahan nyawa demi cinta kita kepada si dia.

Oleh sebab itu, dalam hal cinta kita kepada Nabi, kita mesti mengalami keadaan yang sama seperti di atas. Namun, sebelum cinta kepada manusia, Nabi mestilah dicintai dengan sebenar-benarnya terlebih dahulu. Mengapa kita perlu mencintai baginda?

Kerana Nabi terlalu cinta kepada kita. Antara buktinya, sebelum Nabi wafat, antara perkataan akhir yang dilafazkan Nabi ialah “Ummati, ummati, ummati" (umatku, umatku, umatku). Umat Nabi itu ialah kita. 

Lagi bukti di Padang Mahsyar. Selepas manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar, selepas gagal diberi pertolongan dipercepatkan perbicaraan oleh Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW lalu memohon pertolongan daripada baginda dengan berkata, "Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh Allah, penutup para Nabi dan Rasul, berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab." 

Jawab Nabi Muhammad SAW, "Aku akan tolong kamu semua." Rasulullah SAW pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada Allah SWT selama seminggu. Allah SWT pun berfirman, "Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta. Aku akan kabulkan permintaanmu."

Rasulullah SAW menjawab, "Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-Mu yang telah sekian lama bertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."

Nabi SAW juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman kepadaku.” Kemudian Nabi menyebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tetapi beriman denganku.” 

Orang yang tidak melihat Nabi tetapi beriman kepada Nabi antaranya diri kita yang Nabi puji tiga kali itu. 

Kadangkala dalam hidup kita ini, orang tidak cintakan kita pun kita tergila-gila padanya, apatah lagi pada Nabi yang amat mencintai umatnya, cintailah Nabi sepenuh hati.

“ We Love Rasulullah S.A.W”

Aktiviti - aktiviti sepanjang Minggu Mahabbatul Rasul

Wednesday, February 9, 2011

Minggu Mahabbatul Rasul
11 Feb 2011 - 18 Feb 2011
" We Love Rasulullah S.A.W "

Selamat Menjadi Warga SHAMS Pelajar - Pelajar Baru Tingkatan 4

Monday, February 7, 2011

Soff Murobbi Badan Dakwah,Agama,Akhlak dan Rohani ( BADAR ) SMKA Sheikh Hj. Mohd Said,Seremban ( SHAMS ) mengucapkan selamat datang  dan tahniah kepada pelajar - pelajar baru tingkatan 4 yang berjaya memasuki SHAMS bagi sesi 2011. Dikalangan sejumlah bilangan yang ramai yang memohon,kalian terpilih menjadi warga SHAMS. Syabas diucapkan!

Di peringkat Murobbi BADAR mengharapkan pelajar - pelajar baru tingkatan 4 ini dapat menyesuaikan diri dengan biah solehah/Iklim Dini yang di amalkan dibumi SHAMS seterusnya menjadi salah seorang warga SHAMS yang patuh kepada peraturan disamping bersedia menjadi pemimpin pada masa akan datang.

InsyaAllah,kami Murobbi BADAR SHAMS bersedia membantu dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar - pelajar dalam usaha menjadi anak yang baik,pelajar yang rajin dan hamba Allah yang bertakwa...

We Love Rasulullah...

Sunday, February 6, 2011

Minggu Mahabbatul Rasul

Tarikh: 11 Feb 2011 - 18 Feb 2011
Tempat : SMKA Sheikh Hj. Mohd Said,Seremban ( SHAMS )



(Ya Rasulullah…)

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Di angkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusiakan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya

Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Dr. Yusuf al-Qaradawi Seru Hosni Mubarak Letak Jawatan

Friday, February 4, 2011


Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan digulingkan secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Pergilah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”. Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan dan meninggalkan Mesir yang sudah kehilangan berbilion-bilion wang. “Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”. Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.

Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. “

Sheikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram.”

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.


Mengenali Hosni Mubarak



Hosni dilahirkan pada 4 Mei 1928 di Kafr-El-Meselha selepas tamat sekolah tinggi dan menyertai Akademi Militer Mesir, di mana beliau menerima Darjah Sarjana Muda dalam Sains Ketenteraan pada 1949.

Pada tahun berikutnya, Hosni menyertai Akademi Tentera Udara Mesir dan akhirnya mendapat Sarjana Muda Sains Penerbangan dan di tugaskan dalam skuadron pengebom.

Selepas itu, Hosni diterima masuk ke sekolah latihan juruterbang Kean, Moscow dan sebaik menyempurnakan latihannya itu, Hosni menjadi pegawai Tentera Udara Mesir dan diberi mandat berkhidmat sebagai juruterbang dan naik pangkat menjadi panglima markas. Kerjaya tentera udara beliau sampai kemuncaknya pada 1972 apabila menjadi Komander Tentera Udara.

Beliau kemudian mengahwini wanita kacukan berdarah Barat, Suzanne dan mempunyai dua orang anak lelaki, Alaa dan Gamal Hosni Mubarak. Media melaporkan Alaa dan Gamal dipercayai sejak sekian lama dipersiapkan sebagai pengganti Hosni kelak.



Hosni mempunyai personaliti tersendiri apabila sering diibaratkan sebagai pemimpin Arab yang berkawan rapat dengan kuasa besar Barat, Washington selama berdekad-dekad tahun.

Ekoran keakraban itu, beliau juga pernah beberapa kali menjadi sasaran pembunuhan kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Namun, selepas 30 tahun memegang tampuk kuasa Mesir, 25 Januari lalu menjadi tarikh keramat rakyat Mesir bangun menentang Hosni.

Bermula dengan puluhan ribu, demonstrasi di seluruh negara dengan pusat utamanya terletak di Dataran Tahriri bertukar ngeri apabila limpahan penunjuk perasaan melonjakkan sehingga angka lebih 300,000. Ia dikatakan bakal bertambah satu juta orang sebagaimana yang diumumkan sejak awal. Yang pasti, demonstrasi itu kini bertukar rusuhan berdarah apabila pertembungan berlaku antara penyokong Hosni dan anti-Hosni.

Pada hari kelapan dilaporkan seramai 300 nyawa terkorban manakala 3,000 lain tercedera.
“Perubahan kuasa akan dilakukan secara aman.” Demikian kenyataan Hosni merujuk kepada hari-hari awal demonstrasi yang sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.

Berita-berita melaporkan ketegangan yang berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah telah berkembang ke beberapa tempat di luar Kaherah dan ia semakin membahayakan orang awam termasuk lebih 14,000 warga Malaysia yang berada di sana.

Walaupun sebelum ini Hosni yang pernah dirujuk sebagai firaun moden Mesir, berjaya menyelamatkan diri daripada enam percubaan bunuh, namun, kebangkitan rakyat mungkin akan menjatuhkannya.

Kebangkitan rakyat bukan sekadar melampaui sejarah silam terhadap ketidakpuasan yang ditunjukkan terhadap Hosni selama ini malah, menyebabkan dua sekutu kuatnya juga membuat langkah menjauhkan diri daripadanya.

Pada 31 Januari, tenteranya mengumumkan tidak akan mencederakan peserta demonstrasi aman dan pada 1 Februari, Presiden Amerika, Barrack Obama menghantar maklumat melalui dutanya meminta Hosni supaya tidak menunggu pilihan raya.

Bagaimanapun Hosni tetap nekad dengan keputusannya untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga September ini.

Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan).

“Ini tanah air saya… saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.

“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” ungkap Hosni.
Rapat dengan Israel

Hosni, presiden paling lama di Mesir sejak sistem beraja digulingkan pada tahun 1950-an.

Dia juga satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan kedamaian dengan Israel dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dilihat pernah bertindak menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan parti pembangkang ( ikhawanul Muslim ) serta mengatur pilihan raya.

Di sebalik ketidakhirauan orang awam, kemarahan terhadap pemimpin ini terus berkembang selari dengan keadaan ekonomi yang semakin lumpuh.

Penunjuk perasaan menggunakan kemudahan Internet secara optimum untuk menjalan dan merancang demonstrasi. Mereka juga mendapat motivasi daripada pergerakan yang dilakukan di Tunisia, yang dilakukan sebulan sebelum berjaya mengguling tampuk pemerintahan 23 tahun pemerintah autokratik, Zine El-Abidine Ben Ali.

Mengenali Bulan Rabiul Awal

Thursday, February 3, 2011

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang. Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Perayaan Maulid Nabi pertama kali diperkenalkan oleh Abu Said al-Qakburi, seorang gubernur Irbil, di Irak pada masa pemerintahan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (1138-1193). 

Ada yang berpendapat bahwa pendapat itu sendiri berasal dari Sultan Salahuddin sendiri. Tujuannya adalah untuk membangkitkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, serta meningkatkan semangat juang kaum muslimin saat itu, yang sedang terlibat dalam Perang Salib melawan pasukan Kristian Eropah dalam usaha mendapatkan kota Jerusalem. 

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

1. Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah saw.

Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.

Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Hijrah

Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Peperangan.

Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.

Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah

Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.

7. Pembukaan Iraq

Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis

Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Penggerak Usrah SMKA SHAMS 2011

Wednesday, February 2, 2011


Nuqaba' Tingkatan 3


Nuqaba' Tingkatan 4

Nuqaba' Tingkatan 5

Nuqaba' Tingkatan 6

Musibah Di sisi Islam



Akhir-akhir ini,kita sering terdengar atau terbaca musibah yang melanda di serata tempat. Pelbagai bencana alam yang menimpa kat merata-merata tempat, antaranya yang terbaru banjir besar yang berlaku disekitar negeri Johor, Negeri Sembilan,dan Melaka

Kita juga seringkali ditimpa musibah,walaupun ianya bukanlah musibah sehebat gempa bumi dan seumpamanya,namun setiap kesusahan yang menimpa kita juga dinamakan musibah,dan setiap musibah menuntut kesabaran bagi orang yang menghadapinya. Persoalannya,apakah kita sabar dan redha melaluinya???. 

Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir. “Mengapa aku yang kena?” “Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal?” “Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah?” 

Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qada’ dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka..

Kita mesti menerima hakikat bahawa hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. 

Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil. 

Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: ”Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”.
(Riwayat Muslim)

Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.

Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:

• musibah yang datang bukan urusannya
• tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
• Allah akan kasih padanya
• Allah akan beri pahala 

Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar. Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Na’uzibillah, moga dijauhkan.