Kepimpinan BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said Sesi 2013/2014

Sunday, June 30, 2013



KEPIMPINAN BADAN AGAMA,DAKWAH,AKHLAK DAN ROHANI ( BADAR )
SMKA SHEIKH HAJI MOHD SAID, SEREMBAN SESI 2013/2014

PRESIDEN : Amir Hamzah bin Amran

TIMB. PRESIDEN : Nur Athirah binti Hibir
SETIAUSAHA : Muhammad Ammar Fitri bin Ramlan
TIMB.SETIAUSAHA : Aina Nasuha binti Aminnudin
BENDAHARI : Muhammad Hafizzullah bin Adenan
TIMB. BENDAHARI : Nurin Aida binti Ahmad Rofaie

LAJNAH MUSOLLA DAN IBADAH

Pengerusi : Mohd Qhairul Izmi bin Abdul Rahman
Timb. Pengerusi : Dayang Puteri Nazurah binti Izhar

LAJNAH USRAH DAN TARBIAH

Pengerusi : Amirul Anwar bin Zainol Hamizi
Timb. Pengerusi: Siti Masliana binti Zainol

LAJNAH PENERBITAN DAN MULTIMEDIA

Pengerusi : Muhammad Bustami bin A Razak
Timb. Pengerusi: Siti Sarah Nabila binti Saharudin

LAJNAH CERAMAH DAN PENERANGAN

Pengerusi: Muhammad Hazzarul Hafiz bin Zulkifli
Timb. Pengerusi: Nurul Aina binti Mazri

LAJNAH NADWAH DAN KEPIMPINAN

Pengerusi : Ikmal Hadi bin Muhammad Abduh
Tim. Pengerusi: Asiah binti Mohd Yusof

LAJNAH EKONOMI DAN KEBAJIKAN

Pengerusi : Muhammad Hafizzullah bin Adenan
Timb. Pengerusi: Nurin Aida binti Ahmad Rofaie

LAJNAH DOKUMENTASI DAN PENYELIDIKAN

Pengerusi: Muhammad Aiman Hakim bin Adnan
Timb. Pengerusi : Nur Shahida Nabila binti Shahriman

MUKTAMAR SANAWI BADAR SMKA SHAMS 2013

Sunday, June 16, 2013


ATURCARA
8.00 pg  : Pendaftaran tetamu dan perwakilan
8.30 pg  : Nyanyian Lagu Negaraku & Asma’ul Husna
8.40 pg  : Ucapan Pengerusi Majlis
                Bacaan Ayat – Ayat Suci Al-Quran
                Ucapan Presiden BADAR
9.15 pg  : Ucapan Perasmian Muktamar
                Tayangan Aktiviti Sepanjang sesi 2012/2013
                 Penyampaian Cenderamata
                 Rehat
------------------------------------------------------------------------------------------------------------           
10.30 pg  : Ucapan Pengerusi Muktamar                           
10.35 pg  : Pembentangan & Pengesahan Minit Mesyuarat Muktamar BADAR
                  Sesi 2012/2013
                  Pembentangan & Pengesahan Laporan Pentadbiran BADAR Sesi 2012/2013 
                  Pembentangan & Pengesahan Laporan Kewangan BADAR Sesi 2012/2013
                  Peletakan Jawatan Tanzim BADAR Sesi 2012/2013
11.30 pg  : Pengumuman Pelantikan Tanzim BADAR Sesi 2013/2014
11.35 pg  : Pembentangan Usul & Cadangan Perwakilan
12.00 tgh : Ucapan Penangguhan Presiden BADAR Sesi 2013/2014
                  Bacaan Doa Wehdah & Rabitah
                  Bersurai

Selamat Kembali Ke Sekolah

Saturday, June 8, 2013



Murobbi BADAR SHAMS mengucapkan 
" Selamat Kembali ke Sekolah " kepada 
 semua warga pendidik dan pelajar.

Doa - Doa Penguat Iman

Wednesday, June 5, 2013


يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمِ يَا بَدِيْعُ السَّمَوَاتِ وَالْاَرْضِ يَا ذَااْلجَلَالِ وَاْلِاكْرَامِ لَا اِلَهَ اِلَّا اَنْتَ بِرَحْمَتِكَ اَسْتَغِيْثُ اَصْلِحْ لِيْ شَاْ نِيْ وَلَا تَكِلْنِيْ اِلئَ نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنِ
Maksudnya : Wahai zat yang Maha Hidup dan berdiri sendiri, wahai pencipta langit dan bumi, wahai pemilik kebesaran dan kemuliaan, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah semua keadaanku dan jangan Engkau biarkan aku sendirian walaupun sekelip mata.

اللهم اجعلني صبورا واجعلني شكورا واجعلني في عيني صغيرا وفي اعين الناس كبيرا رب اغفر وارحم واهدني السبيل الاقوم
Maksudnya : Ya Allah jadikanlah aku orang yang penyabar dan jadikanlah aku orang yang pandai bersyukur, dan jadikanlah aku dalam pandanganku kecil dan dalam pandangan manusia besar. Ya Rabb, ampuni dan sayangilah aku serta bimbinglah aku ke jalan yang benar.
اللهم لا تدع لنا ذنبا الا غفرته ولا عيبا الا سترته ولا هم الا فرجته ولا دينا الا قضيته ولاحاجة من حوائج الدنيا والاخرة هي لك رضا ولنا صلاحا الا قضيتها يا ارحم الرحمين
Maksudnya : Ya Allah jangan Engkau biarkan dosa kami kecuali Engkau mengampuninya, dan jangan pula Engkau biarkan aib kami kecuali Engkau menutupinya, dan tidak pula duka cita kecuali Engkau melepaskannya, dan tidak pula engkau membiarkan hutang kecuali melunasinya, dan tidak pula hajat dari hajat-hajat dunia dan akhirat yang Engkau redha padanya dan baik bagi kami melainkan Engkau tunaikan. Wahai yang maha Pengasih lagi maha Penyayang.

اللهم اني اسالك العفو والعافية والمعافاة الدائمة في الدين والدنيا والاخرة
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kemaafan dan kesihatan dan pemeliharaan yang berkesinambungan dalam hal agama, dunia dan akhirat.

اللهم اغفر لي جميع ما مض من ذنوبي واعصمني فيما بقي من عمري وارزقني عملا زاكيا ترض به عني
Maksudnya : Ya Allah ampunilah semua dosa-dosaku yang telah lalu dan peliharalah apa-apa yang tersisa dari umurku dan kurniakanlah kepadaku amalan yang suci yang Engkau redhai dariku.


اللهم حبب الينا الايمان وزينه في قلوبنا وكره الينا الكفر والفسوق والعصيان واجعلنا من الرشدين
Maksudnya: Ya Allah jadikanlah kami mencintai keimanan dan hati kami dengannya, dan tanamkanlah dalam diri kami kebencian kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan dan jadikanlah kami orang-orang yang mendapat petunjuk.

اللهم طهر قلبي من النفاق وعملي من الرياء ولساني من الكذب وعيني من الخيانة انك تعلم خائنة الاعين وما تخفي الصدور
Maksudnya: Ya Allah bersihkanlah hatiku dari kemunafikan dan amalku dari sifat riya dan lisanku dari dusta serta mataku dari khianat sesungguhnya Engkau mengetahui pengkhianatan setiap mata dan apa-apa yang tersimpan dalam dada.

اللهم اني اسالك الجنة وما قرب اليها من قول وعمل واعوذ بك من النار وما قرب اليها من قول وعمل واسالك ما قضيت لي من قضاء ان تجعل عاقبته لي رشدا
Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan hal-hal yang dapat mendekatkan aku kepadanya berupa ucapan dan perbuatan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari api neraka dan hal-hal yang dapat mendekatkan aku kepadanya baik berupa ucapan maupun perbuatan. Dan aku memohon kepada-Mu terhadap apa-apa yang Engkau tetapkan bagiku dari ketetapan-Mu hendaklah kiranya Engkau menjadikan baik kesannya bagiku

Pra Muktamar BADAR: Al-Quwwah dan Al-Amanah



Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."*1
Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."

Huraian

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan kepimpinan seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan kepimpinan.

Disamping itu,hadith ini menonjolkan sikap yang terpuji Abu Zar r.a. yang meriwayatkan ucapan Nabi s.a.w, sekalipun isi kandungannya menyatakan kelemahan dirinya dalam kepimpinan. Ini amanah ilmu dan kejujuran para sahabah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w kepada umat.

Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya.

Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi s.a.w. sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.

Sabda Nabi s.a.w. Maksudnya:

"Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". 
Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". 
Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". *2

Firman Allah: maksudnya
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengan 'adil." *3

Kata al-Imam al-Qurtubi : 
"Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." *4

Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak mengendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan.Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.

Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?

Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.

Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.: maksudnya
"Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." *5
Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:

Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas.

Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab.

Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan: maksudnya
 "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah."
Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s. :maksudnya
"Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai" *6
Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: maksudnya
"Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) *7
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: 

"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ... al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia.

firman Allah: maksudnya: "
Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir) [Surah al-Maidah: ayat 44] *8
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Timbangan yang telah digariskan oleh al-Quran dan dihuraikan as-Sunnah serta dibahaskan oleh sarjana-sarjana atau para ulama Islam yang seperti Ibn Taimiyyah, dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mengatur urusan pentadbiran dan kehidupan dalam semua aspek. Di mana pun posisi seseorang, sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.

Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Sekalipun Rasulullah s.a.w. pernah menegur beberapa tindakan Khalid yang tidak disetujui oleh baginda. 
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.  
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam" *9
Maka dalam perlaksanaan pembahagian tugas atau perlantikan jawatan, hendaklah dipastikan perkara berikut:

Pertama: Melantik individu atau tokoh yang memenuhi ciri al-Quwwah dan al-Amanah

Kedua: Sekiranya berlaku kekurangan tokoh yang berlayakan melainkan setiap orang memiliki kecacatannya yang tersendiri, maka hendak dibandingkan kelemahan yang ada dengan tugas yang bakal dipikul. Ini dilihat siapakah yang paling bermanfaat dan paling kurang mudarat untuk tugasan tersebut.

Oleh itu usaha untuk mewujudkan kelompok manusia yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. 

Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, solih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat.

Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.
---------
1. Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..
2. Riwayat al-Bukhari.
3. Surah an-Nisa': ayat 58
4. Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beiru
5. Surah al-Qasas ayat: 26
6. Surah Yusuf: ayat 54
7. Surah al-Takwir ayat 19-21
8. Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar- Ra`iyyah,m.s.27-28. Ctk. Dar al-Arqam, Kuwait
9. Ibid, m.s.29

Di susun drpd sumber: Dr. Mohd Asri Zainal Abdidin

PRA MUKTAMAR BADAR : KEPIMPINAN TAKLIF vs TASYRIF

Sunday, June 2, 2013


Kepimpinan BADAR sesi 2012/2013 bakal melabuhkan tirainya dan sudah pasti kepimpinan baru bakal dilantik bagi meneruskan legasi kepimpinan dalam usaha menyuburkan gerak kerja dakwah dan tarbiyah di bumi SHAMS. Justeru,murobbi BADAR SHAMS ingin menyentuh tentang konsep kepimpinan yang merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah tanzim dakwah seperti BADAR.

Kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin.

Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang ketara antara tasyrif dan juga taklif:

1. Orang yang menganggap kepimpinan adalah kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

2. Manakala orang yang faham bahawa ia adalah taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan. Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggungjawab dan akan cuba melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan perasaan takut dan merasai muraqabah Allah SWT. Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.

Sesungguhnya Islam memuliakan seseorang pemimpin dan mengajarkan konsep taat selagi mana tidak menyalahi syariat, namun pemimpin perlu sedar kemuliaan yang diberikan ini hendaklah disalurkan kepada jalan yang hak, tanpa penyalahgunaan dan pengabaian terhadap amanah.

Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah SAW awal-awal lagi memperingatkan umatnya dengan amanah kepimpinan ini. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghiffari berkata kepada Rasulullah:

"Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi gabenor (pemimpin wilayah)?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."( Riwayat Muslim )

Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikan. Islam mangajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan dan kapasiti yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya akan tetapi akan ditanya kelak ialah MENGAPA TIDAK BEKERJA MENUNAIKAN AMANAH.

Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai hadaf (matlamat) tidak akan terjadi kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta’ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakal dan pohonlah bantuan daripada Allah SWT.


Nota Buat Diri :WAHAI JIWA YANG DITARBIAH

Saturday, June 1, 2013



Setiap daripada kita akan menjadikan tarbiah sebagai jalan hidup. Mentarbiah dan ditarbiah. Kedua-duanya akan berjalan seiring. Tidak bisa jika salah satu daripadanya ’lemas’ daripada hidup seseorang itu. Manusia yang mentarbiah tetap ditarbiah. Jika tidak ditarbiah oleh murobbinya, dia ditarbiah oleh Tuhannya.

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Masakan kau merasa lemah tatkala ujian Allah singgah ke jiwamu. Jiwamu bukan jiwa yang ’gersang’ tetapi telah diisi dengan ’nur’ dan kefahaman. Kefahaman bahawa mentarbiah bukanlah satu usaha yang senang.

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Sekalipun ’tikaman’ lidah sentiasa menyebabkan kau terluka, kau harus tabah. Saat kau dicemuh, dipulau, dipandang enteng usahamu, tidak mengapa.. Bukankah itulah kemanisannya buatmu?

Ingatlah kata-kata ini yang sering menjadi pengubat jiwa tatkala diri rasa ’jatuh’ ’dibunuh’  dengan ujian,

Kemanisan dalam berdakwah apabila hadirnya penentangan.

Indah bukan?
Tidak semua mampu merasainya. Tidak semua mampu mengecapinya. Dan kita memilihnya kerana kita mahu menjadi yang terpilih merasai ’nikmat’ kejatuhan dan kesusahan ini. Namun,

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Kadangkala, dirimu cepat melatah tatkala ujian menjadi ’makanan’mu.

Usrah?

Program?

Taklifan?

………….????

Segalanya kau tinggalkan hanya kerana segulung ijazah menanti.

Menilai diri sendiri itulah terbaik dalam mencari pengajaran.
Usah melihat dan menunding orang lain atas kebejatan kerja dakwah kita.
Cukuplah diri sendiri sebagai medan refleksi membangkit ummah.

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Bertanyalah kembali di dalam dirimu. Dimanakah kedudukan Illahi di dalam hatimu? Adakah padaNYA hanyalah ’sisa-sisa’ perasaan selepas perasaan cinta pada dunia atau di mana kau meletakkan kedudukannya dalam hidupmu?

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Ruang dakwahmu luas terbentang di depan mata.
Cukuplah Dia saksi bahawa lelahmu untuknya bukan yang lain.
Tidak pada masyhur agar dikenal kencangnya dakwahmu.
Bukan untuk dipuji luhurnya jiwamu mentarbiah manusia.
Sekali-kali tidak juga untuk digelar ilmuan yang tinggi ilmunya.
Tidak juga untuk menyebabkan dirimu terhumban ke neraka dek ’ujub yang bermaharajalela di hatimu.
Cukuplah ’dunia’ semalam yang melalaikan.

Bangkitlah menilai dan bermuhasabah. Jika dirimu yang ditarbiah ’menyerah’ kalah, siapa lagi yang mahu mengambil tahu kerja tarbiah ini.