Apabila Anggota Badanmu Bersuara!

Wednesday, March 30, 2016


Ketahuilah,(Wahai Saudaraku!)
Sesungguhnya kamu melakukan maksiat kepada Allah dengan anggota badanmu,sedangkan ia adalah satu nikmat kurniaan Allah kepadamu,satu amanah disisi kamu.Maka perbuatan maksiat kamu dengan menggunakan nikmat kurniaan Allah adalah kemuncak kekufuran(kufur nikmat),dan pengkhianatan kamu terhadap amanah yang diberikan Allah padamu adalah kemuncak pelampaui batas.

Ingatlah,anggota-anggota badanmu itu dibawah jagaanmu.Lihatlah bagaimana kamu menjaganya kerana setiap orang daripada kamu itu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab kepada jagaannya.


Ketahuilah,(Wahai Saudaraku!)
Sesungguhnya semua anggota badanmu itu akan menjadi saksi keatasmu pada perhimpunan Hari Akhirat kelak,dengan lidah yang fasih dan lancar yang akan membuka segala rahsiamu di depan semua makhluk .


Allah SWT telah berfirman :

سورة النور :24  (يوم تشهد عليهم ألسنتهم وأيديهم وأرجلهم بما كانوا يعملون ) 
Maksudnya: Dan pada hari itu akan menjadi saksi ke atas mereka lidah-lidah mereka,dan tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka terhadap apa yang telah mereka amalkan. 

FirmanNya lagi:
سورة يس :65 (اليوم نختم على أفواههم وتكلمنا أيديهم وتشهد أرجلهم بما كانوا يكسبون) 

Maksudnya : Pada hari ini,Kami tutup mulut mereka.Dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki-kaki mereka terhadap apa yang mereka usahakan dahulu.


Maka,jagalah seluruh tubuhmu daripada segala maksiat,khususnya anggota-anggota tubuhmu yang tujuh.Sesungguhnya neraka Jahannam itu baginya tujuh pintu yang setiap pintunya telah ditetapkan untuk golongan tertentu. Sebagaimana firman Allah :
سورة الحجر:44 لها سبعة أبواب لكل باب منهم جزء مقسوم ) 

Maksudnya : Jahannam itu mempunyai tujuh pintu.Tiap-tiap pintu(telah ditetapkan) untuk golongan tertentu daripada mereka.


Dan tidak akan ditentukan pintu-pintu tersebut melainkan mereka yang mengingkari perintah Allah dengan tujuh anggota ini iaitu:


1- Mata

2- Telinga

3- Lidah

4-Perut

5-Kemaluan

6-Tangan

7-Kaki


Sebagai kesimpulan,anggota badan yang tujuh inilah yang kerap kita gunakan bahkan manusia itu tidak sempurna jika tiada salah satu daripada anggota yang tujuh ini.Maka marilah sama-sama kita renungkan kembali jauh ke dalam diri kita,bagaimanakah kita menjalankan kewajipan menjaga amanah yang Allah kurniakan kepada kita.Semoga dengan sentiasa bermuhasabah dapat kita sentiasa memperbaiki segala kesilapan dan ketelanjuran yang telah kita lakukan terhadap Allah SWT sama ada secara sedar atau tidak.


Kita sebagai insan yang lemah serba kekurangan memang tidak dapat lari daripada kesilapan,tapi janganlan kita terus bergelumang dengan kesilapan yang sama. Bangkitlah dan kembalilah kepada fitrah kita yang sebenar,sucikanlah hati kita dengan airmata taubat nasuha kepada Allah kerana itulah sebaik-baik anak Adam

Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai

Monday, March 28, 2016


1.     Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut  contohnya akibat strok haba.
2.     Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:
o    Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
o    Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
o    Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
o    Penghidap penyakit sistem pernafasan.
o    Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

3.     Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada  penyejatan/ pengeringan peluh.
o    Gejala cuaca panas melampau adalah : 
§  Sakit kepala
§  Keletihan
§  Lemah tumpuan
§  Pening
§  Lemah otot–otot atau kekejangan
§  Mual dan muntah
4.     Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).
o    Cara  mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:

4.1 Anda Perlu :
§  Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
§  Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
§  Hadkan aktiviti luar
§  Kerap berehat
§  Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
§  Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
§  Pakai topi atau payung yang besar 
4.2 Elakkan:
§  Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
§  Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.
§  Bersenam dalam cuaca panas
5.      Jika anda  mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas,  ingat tip-tip di bawah; 
o    Keluar dari kawasan yang panas
o    Tanggalkan pakaian yang ketat
o    Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
o    Gunakan kipas untuk sejukkan badan
o    Minum air setiap 15 minit
o    Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal 

APA YANG BERLAKU DI TURKI PADA SAAT INI?

Sunday, March 20, 2016


Melihat pada akhir-akhir ini banyak berlaku letupan di Turki, di Ankara dan Istanbul khususnya. Hari ini pula kita dikejutkan lagi dengan letupan ke-5 yang mengorbankan orang awam di salah sebuah Bandar Utama di Turki, iaitu Istanbul.
Mungkin ramai yang tertanya atas sebab dan matlamat apa usaha jahat ini dilakukan di Turki. Negara yang populasinya 96.50% muslim dan kini mula dilihat sebagai salah satu negara yang diharap akan memimpin umat Islam dalam menangani isu-isu utama yang membelenggu umat Islam yang tertindas pada saat ini.
Ramai juga yang tertanya siapakah dalang kepada letupan berani mati yang seringkali dilakukan di Turki. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS sering dikaitan sebagai dalang kepada operasi jahat ini. Ramai yang mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun, ini kami katakan bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki namun apa yang terjadi sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman dan bergerak lebih maju kehadapan.
Namun sebelum kita berbicara lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki.
Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah ini telah menafikan sebarang hak bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, bahasa dan agama.
Ia adalah sebuah kedaulatan yang menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13 yang berbunyi :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "

Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299~ lagi.
Namun apabila perjanjian “Sykes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa, ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi nasionalism yang sempit.
Umat manusia yang hidup bersama-sama dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka.
Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri.
Mereka seringkali berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri. Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan.
Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang mengalami situasi yang sama.
Di Turki, masyarakat Turki yang ditindas sekian lama sejak zaman penubuhan republik dieksploitasi kuasa antarabangsa seperti Israel, Amerika dan Rusia.
Ini jelas apabila Amerika masih degil untuk menyenaraikan PKK (Partiya Karkerên Kurdistanê/Parti Buruh Kurdistan) atau proksi mereka di Syria YPG (Yekîneyên Parastina Gel/People Protection Party), PYD (Partiya Yekîtiya Demokrat/Democrate Union Party) sebagai kumpulan pengganas, sungguhpun mereka secara terang-terangan mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke atas serangan-serangan letupan berani mati di Ankara dan Istanbul.
Kedegilan ini bertolak titik dari pendirian Amerika yang mahu menjadikan YPG/PYD/PKK sebagai proksi mereka dalam mengekalkan kuasa mereka dan mengekang pengaruh ISIS di rantau ini.
Campur tangan Amerika jelas dilihat daripada isu Laut Hitam (Black Sea) yang masih belum selesai. Sehingga saat ini, senjata-senjata api masih dibekalkan oleh Amerika kepada puak pengganas ini , atas alasan agar “ melemahkan dan mengalahkan ISIS” seperti dikatakan President Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah serangan ke atas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir.
Apa yang Turki perlukan pada saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. Turki pada saat ini dicemburui pelbagai pihak luar seperti Amerika, Iran, Israel, Russia atas kejayaannya dalam pembangunan dan juga kemajuan yang dicapai Turki akhir-akhir ini.
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini diserang dari setiap sudut, ini dapat dilihat dari liputan media antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun datang melancong ke Turki.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa luar terutamanya Amerika, Israel, Iran dan negara-negara lain yang mencemburui Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki yang kini mula membangun dari setiap sudut.
Sepertimana saranan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Pada saat ini hanya Turki lah satu-satu Negara yang tegas dan bangkit dalam menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.
Kami menyeru anda semua untuk terus menyokong dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada masyarkat Islam di Turki. Jalinkan hubungan dengan umat Islam di Turki dari apa jua suduh, ekonomi, pendidikan, pelaburan, perniagaan dan juga ketenteraan. Turki memerlukan kita semua.
🔎 Official Website : www.jejakuthmaniyyah.com
📖 Artikel Jejak Uthmaniyyah :
www.menjejakiuthmaniyyah.blogspot.com
📷 Follow our instagram : jejakuthmaniyyah_ig
💡 Join our channel in Telegram for updates:https://telegram.me/jejakuthmaniyyah
Said Imaddudeen Norhisam.
CEO Jejak Uthmaniyyah Tour & Consultancy.
18:26, Pazartekke, Fatih/ISTANBUL.⁠⁠⁠⁠

Usrah Tingkatan 4 : Nikmat Dunia Yang Memperdayakan ( Sihat & Waktu lapang )

Thursday, March 17, 2016

عَن ابنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عن النيى صَلَّى الله عليه وسلم قال : " نِعْمَتَانِ مَغبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالفَراغُ "     ( رواه البخارى والترمذى والنسائى وابن ماجه )

Maksudnya :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Nabi s.a.w. katanya : “ Dua  nikmat yang ramai orang terpedaya dengannya iaitu sihat dan masa lapang”.  

Manusia dikurniakan Allah pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Nikmat itu diberi Allah secara percuma dan tidak dituntut kepada hamba-Nya membalas segala pemberian-Nya kerana sememangnya manusia tidak akan berupaya berbuat demikian.


Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. – Surah an-Nahl (ayat 18)

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu.” (Surah an-Nahl, ayat 18)


Manusia hanyalah bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Tanda mensyukuri nikmat ialah memanfaatkannya kepada perkara kebaikan, manakala mengkufuri nikmat ialah menyalahgunakan nikmat Allah dengan mengundang kemurkaan-Nya.

Sungguh benar ucapan Rasulullah SAW itu kerana didapati ramai manusia yang dianugerahkan Allah nikmat kesihatan dan kelapangan masa tetapi mereka mensia-siakannya. Sebaliknya, mereka tenggelam dalam kelekaan dan keseronokan semata-mata.

Manusia mengira bahawa kesihatan dan kelapangan masa yang sedang dikecapinya adalah hal biasa-biasa saja dan tidak akan hilang. Padahal nikmat sihat dan masa lapang diberi Allah supaya Mukmin berlumba melakukan kebaikan dan amal soleh sebagai bekalan menuju akhirat.

Dalam keadaan sihat, ramai pula yang melakukan pelbagai perbuatan maksiat dan kejahatan tanpa merasa malu kepada Allah. Manusia seperti ini ternyata telah mengkufuri nikmat iaitu menggunakan anugerah Allah untuk menderhaka kepada-Nya.

Perlu diinsafi manusia tidak selalu berkeadaan sihat. Masa sihat boleh bertukar kepada keadaan sakit kerana kedua-duanya adalah pemberian dan ketentuan Allah.

Jika sewaktu sihat seseorang Mukmin itu mensia-siakan ibadahnya kepada Allah dan beramal soleh, maka penyesalan akan menimpanya apabila ditimpa sakit kerana sewaktu sakit segala ibadah dan kebajikan tidak mampu dilakukan.

Lebih malang lagi jika sakitnya berterusan dan Allah tidak mengembalikan semula kesihatannya, bermakna ia tidak lagi punya kesempatan untuk beribadah dan beramal soleh serta menebus dosanya yang lalu.

Nikmat kelapangan masa juga banyak dicuaikan manusia. Masa lapang sepatutnya dimanfaatkan untuk banyak mengingati Allah melalui pelbagai amal ibadah, mencari ilmu untuk kebaikan dunia dan akhiratnya serta memperelokkan akhlak.

Namun ramai manusia terpedaya dengan nikmat masa lapang. Masa lapang mereka berlalu begitu saja tanpa pengisian yang berfaedah atau aktiviti berunsur kebajikan. Jika dalam masa yang lapang pun mereka tidak mengingati Allah, apalagi dalam keadaan sibuk mengejar keuntungan dunia.

Tiada penghargaan terhadap nikmat kelapangan masa menyebabkan ramai manusia menghabiskan masanya secara sia-sia, sedangkan setiap detik masa terlalu berharga dan umurnya turut berlalu.




Nasihat ulama Ibnul Jauzi baik dijadikan renungan. Katanya: “Terkadang manusia berada dalam keadaan sakit, tetapi ia tidak mempunyai kelapangan waktu di sebabkan kesibukan mengerjakan urusan dunianya. Dan terkadang pula seseorang itu punya masa lapang, namun ia dalam keadaan sakit. Apabila terkumpul pada seseorang waktu lapang dan nikmat sihat, maka sungguh akan datang rasa malas dalam melakukan ketaatan (kepada Allah). Itulah manusia yang telah terpedaya.

Katanya lagi: “Dunia adalah ladang beramal untuk dituai hasilnya di akhirat. Sesiapa memanfaatkan waktu lapang dan sihat dalam rangka agenda ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya sesiapa mempergunakan kedua-dua nikmat itu dalam kancah ke maksiatan, dialah yang benar-benar telah tertipu. Sesudah waktu lapang, akan datang waktu yang dipenuhi kesibukan. Demikian pula sesudah masa sihat, akan datang pula kesakitan yang tidak menyenangkan.


Pesan Nabi SAW: “Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara lain, (iaitu) masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (Riwayat al-Hakim)     



Panduan Solat Sunat Gerhana Matahari ( 9 Mac 2016 )

Tuesday, March 8, 2016


Sukacita dimaklumkan bahawa Fenomena Gerhana Matahari Separa dijangka akan berlaku pada hari Rabu bersamaan 9 Mac 2016 bermula jam 7:24 pagi hingga 9:31 pagi dan menjadi sunnah yang dituntut untuk mendirikan Solat Sunat Gerhana Matahari pada waktu tersebut. Sehubungan dengan itu, adalah digalakkan kepada semua masjid di Negeri Sembilan Darul Khusus untuk mengadakan Solat Sunat Gerhana Matahari. Kaifiyyah pelaksanaan solat adalah seperti berikut : 


KAIFIYYAH SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI

Sunat dilakukan Solat Sunat Gerhana Matahari secara berjemaah. Ia mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah , 4 Ruku' dan 4 sujud, seperti berikut : 

RAKAAT PERTAMA

  1. Lafaz niat :
أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوْفِ رَكْعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى
Yang bermaksud : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala

  1. Baca Surah al-Fatihah dan surah secara perlahan
  2. Ruku'
  3. I'tidal
  4. Baca Surah al-Fatihah dan surah secara perlahan
  5. Ruku'
  6. I'tidal
  7. Sujud dan seterusnya seperti  solat biasa 
RAKAAT KEDUA
  1. Baca Surah al-Fatihah dan surah secara perlahan
  2. Ruku'
  3. I'tidal
  4. Baca Surah al-Fatihah dan surah secara perlahan
  5. Ruku'
  6. I'tidal
  7. Sujud
  8. Tahiyyat Akhir
Sunat membaca 2 khutbah selepas solat sunat gerhana sebagaimana dua khutbah Jumaat dari segi rukun dan syarat-syaratnya.

Usrah Tingkatan 3 : Orang Yang Papa Pada Hari Qiamat

Monday, March 7, 2016




Ertinya: Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda:”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” 


(Hadits Riwayat Muslim)


Keterangan:

Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah s.w.t. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya daripada perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan.

Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan maruah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka terpaksa kita berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agung Rabbun Jalil, iaitu di padang Mahsyar nanti.

Pada kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada pahala amalan tersebut. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na’uzubillah min za lik.


Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
(Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati)

Selamat Menghadapi Ujian Awal Tahun kepada semua para pelajar SMKA SHAMS


Usrah Tingkatan 2: Orang Yang Bijak Ingat Mati

Wednesday, March 2, 2016


عن أَََبِي يَعلَى شَدَّادِ بنِ أَوسٍ رضى الله عنه قَالَ,قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وَسَلَّم: الكَيِّسُ مَن دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ اَتْبَعَ نَفْسُهُ هَوَاهاَ وَتَمَنَّى عَلَى الله.
(رواه الترمذي )
Maksudnya :
            “Daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang bijak ialah orang yang boleh menguasai dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah mati. Orang yang lemah ialah orang yang mengikut kehendak nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah”.

(Riwayat Tirmizi)

TIDAK seorang pun yang sudi digolongkan sebagai orang yang jahil atau bebal, sebaliknya masing-masing ingin dipandang sebagai orang yang bijak dan cerdik. Sekalipun mereka tidak berusaha untuk melayakkan dirinya untuk digolongkan sebagai manusia bijak dan cerdik, malah tidak kurang juga orang yang berlagak bijak meskipun dia sebenarnya adalah sebaliknya.

Ada orang yang mengukur kebijaksanaan seseorang itu berdasarkan ijazah yang dimiliki, kerana orang yang lulus dalam sesuatu peperiksaan hingga melayakkan mereka menerima ijazah itu, adalah bukti bahawa dia seorang yang bijak. Si jahil adalah mustahil boleh mencapai segulung ijazah, kecuali dia telah berusaha membuang kejahilannya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Tidak dinafikan orang yang memiliki ijazah adalah orang yang bijak, tetapi tidak pula bererti orang yang tidak memiliki ijazah itu tidak bijak, kerana jika ditinjau dari kacamata Islam bahawa orang yang beriman itu lebih bijak dari orang yang tidak beriman. Orang yang beriman dianggap bijak oleh Islam kerana mereka mengetahui tentang Allah yang Maha Esa, mengetahui rahsia disebalik alam barzakh. dan seterusnya mengetahui alam akhirat kekayaan dari harta negara dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Peniaga yang amanah akan bersama para malaikat yang mulia di akhirat kelak." dan pada hadith yang lain disebut: "Peniaga yang amanah akan bersamaku (Rasulullah) di dalam syurga."


Natijah dari banyak mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak gentar menghadapi ancaman manusia, kerana dia tidak takut selain kepada Allah Taala. Dia berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala, justeru tidak ada sesuatu yang meragukan dia.

Orang yang mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana firman-Allah SWT:

Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.
(Surah al-Mujadilah ayat 11)

Allah mengangkat darjat orang beriman dan berilmu pengetahuan kerana mereka mempunyai asas yang kukuh untuk unggul ketaqwaannya, berdasarkan bahawa hati mereka sentiasa mengingati mati, sangat sensitif terhadap suruhan dan larang Allah, tidak mungkin mereka akan melanggar larangan Allah Taala, kerana meninggalkan kefardhuan dan melakukan kejahatan akan menyulitkan kehidupannya di alam barzakh dan di akhirat. Mereka sentiasa gementar hatinya terhadap ancaman Allah. Seperti firman Allah yang bermaksud:

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Mengingati mati tidak akan menimbulkan kesan yang pasif atau negatif, sebagaimana anggapan setengah golongan orang yang tidak memahami hikmah di sebalik zikrul maut itu. Ramai orang jahil berkata, jika asyik ingat mati nescaya tidak akan membangun. Anggapan itu amat keliru kerana pembangunan masyarakat manusia tidak hanya pembangunan benda, kerana pembangunan benda tanpa pembangunan jiwa atau rohani pasti akan hancur binasa.

Dunia menyaksikan betapa kemajuan benda yang dihasilkan oleh kepakaran manusia, kemudiannya dihancurkan oleh tangan manusia sendiri. Los Angles sebuah bandaraya di Amerika musnah menjadi abu apabila manusia merusuh, ekoran dari rasa tidak puas hati terhadap sistem perundangan yang tidak menghasilkan keadilan seperti yang mereka harapkan, khususnya ketika membicarakan kes Rodney King.

Demikianlah nasib sebuah kotaraya yang disuburkan dengan tamaddun kekufuran, akibat sistem perundangan ciptaan manusia yang tidak berteraskan wahyu Ilahi, tanpa iman kepada Allah Taala, tiada kepercayaan kepada hari pembalasan, sebab itulah perundangan mereka tidak menjanjikan keadilan.

Andainya manusia membangun kebendaan dan kemudiannya tangan mereka sendiri pula yang meruntuhnya, sudah nyata mereka bukan golongan yang cerdik. Justeru orang yang bodoh dan dangkal saja yang membina tamaddun benda semata-mata yang tidak menjanjikan kebahagiaan, sebaliknya untuk mewarisi kesengsaraan.

Mengingati mati akan melunakkan hati yang keras, serta menjinakkan nafsu yang ganas, umpama seekor harimau yang hilang garangnya apabila tali tas atau tali cemeti dipecutkan di hadapannya.

Apabila nafsu yang ganas telah ditundukkan, maka akan bertambah mudahlah usaha untuk membuat persiapan dan bekalan bagi menghadapi suatu kehidupan abadi selepas mati. Justeru nafsu yang ganas itulah yang selama ini menjadi penghalang, hendak menderma untuk kebajikan atau perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak lagi keberatan kerana sifat bakhil yang didalangi oleh nafsu itu sudah ditundukkan.

Orang yang tidak pernah mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagiaan yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri dari orang-orang yang dungu.