Bagaimana Proses Pentarbiyahan Dapat Membentuk Peribadi ?

Friday, November 26, 2010


1 ) Berikan Kasih Sayang 

Proses pentarbiyahan diibaratkan seperti proses keibuan yang boleh dilihat di mana-mana. Seorang ibu itu merangkul bayinya, menyusukannya, bersusah payah bersengkang mata kerananya, mengucupnya dengan penuh perasaan kasih sayang yang tidak dapat disifatkan, penuh keikhlasan dan tanpa syarat (unconditional love). 

Si anak juga bagai sangat-sangat mengerti perasaan si ibu; jika ada yang cuba merampasnya dari ibunya ia pastikan merengek, dia faham akan memek muka ibunya dan kenal sangat akan bau harum ibunya. Itulah dia tarbiyah; kasih sayang.

Hampir keseluruhan inti karangan kitab Imam Al-Ghazali Al-Ihya’ merupakan inti pati tarbiyah. Tidak akan berjaya sesebuah usaha tarbiyah selagi tidak terbina jambatan kasih sayang antara murabbi dan murid. Seseorang murid tidak akan memahami pengajaran guru yang tidak disukainya, sekalipun gurunya sering berkata yang benar.

Rasulullah s.a.w telah mengajar satu wasilah di mana jika kita menjadikannya pengamalan di dalam masyarakat Islam kita, pasti akan berkembang bibit-bibit kasih sayang antara masyarakat Islam; iaitu sebarkan salam. 

Melalui ajaran Rasulullah ini, kami mendapati bahawa tarbiah tidak memerlukan kekata yang banyak; hanya dengan sekadar mengucapkan “Assalamu’alaikum!”. Mudah kan? Bagaimana seseorang manusia boleh berkasih sayang dengan saudara insannya yang lain? Beberapa saranan telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Antaranya ialah dengan bersenyum (Janganlah kamu memperkecilkan urusan sesebuah amal makruf itu, walau sekadar kamu bertemu saudara mu dengan wajah yang ceria) Allahu akbar! 

Tanyakan hal ehwal saudara kamu, saling ber-tahaadii (memberi hadiah), mendoakan antara satu sama yang lain dan berkongsi sama perasaan suka dan dukanya. Semua ini adalah wasilah-wasilah yang mudah. Tidak perlukan banyak usaha dan kata-kata!

Setelah kaum muslimin menang dalam peperangan Badr Al-Kubra, orang-orang Quraisy telah berjaya menculik saiyidina Khabbab Bin Al-Arat dengan tujuan membunuhnya. Mereka mengikatnya dan ingin menyalibnya. Abu Sufyan yang pada ketika itu sebagai ketua kaum Quraisy telah bertanya kepadanya “Wahai Khabbab! Dalam keadaan mu sekarang ini, adakah kau redha kami gantikan kamu dengan Muhammad?” Menjawab Saiyidina Khabbab “Tidak! Aku tidak redha sama sekali Rasulullah disakiti walau dengan sekecil duri sekalipun!” Itulah dia kasih sayang yang telah mengikat jiwa para sahabat r.a dengan Rasulullah s.a.w sehinggakan kaum Quraisy mengatakan “Kami tidak pernah melihat seseorang mengasihi saudaranya seperti mana para sahabat Muhammad mengasihi Muhammad!”

Rasulullah s.a.w dan saiyidina Abu Bakar r.a pernah sekali itu disakiti sewaktu mereka berada di Mekah. Mereka dipukul dan dihina sehinggakan saiyidina Abu Bakar pengsan kerana mempertahankan Rasulullah dari disakiti. Apabila beliau sedar dari pengsannya, ketika ibunya ingin memberinya sedikit minuman, beliau menolak dan berkata “Aku ingin mengetahui keadaan Rasulullah terlebih dahulu”. Ini lah dia contoh cinta sesosok peribadi yang telah ditarbiyah oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam Perang Uhud, setelah kaum muslimin membawa khabar kekalahan mereka di medan perang, seorang wanita bertanyakan “Apakah kesudahan peperangan?” Mereka pun menjawab “Telah terbunuh suami mu”. Si wanita berkata “Aku tidak bertanyakan itu”. “Telah terbunuh ayah mu”. “Bukan itu yang aku tanyakan”. “ Telah terbunuh saudara lelaki mu”. “Aku tidak bertanyakan dia”. “Telah terbunuh putera mu”. Si wanita menjawab “Aku tidak bertanyakan tentang mereka semua itu. Aku ingin bertanyakan, apa khabar Rasulullah s.a.w?” Mereka pun menjawab “Rasulullah berada di dalam keadaan baik-baik saja”. Si wanita pun berkata “Alhamdulillah, semua musibah setelah (mengetahui keadaan) mu, ya Rasulullah, adalah kecil!”

Seorang lelaki berjalan ke sebuah kampung. Lalu turunlah malaikat menanyakan “Kenapa kah kamu berjalan ke kampung itu?” Beliau menjawab “Aku ingin menziarahi si fulan”. Malaikat itu terus bertanya “Adakah kau mempunyai pertalian darah dengannya?” Beliau berkata “Tidak ada. Cuma aku mengasihinya kerana Allah”. Lalu malaikat itu pun mendoakannya “Moga Allah mengasihi mu atas sebab kasih mu terhadap saudara mu itu dan Allah telah menetapkan syurga sebagai ganjaran buat mu.” 

Seorang lelaki mendatangi Baginda Rasulullah s.a.w dan berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Aku ingin bersama-sama mu di syurga nanti.” Tanya Rasulullah: “Apakah yang kau siapkan untuk itu?” Katanya: “Tiada lain kecuali cinta ku kepada Allah dan RasulNya.” Bersabda Baginda: “Seseorang itu akan dibangkitkan dengan orang yang dikasihinya”.

2 ) Tunjukkan Qudwah Hasanah

Jika seorang anak mendapati ibunya tidak bersikap jujur dengannya, dia tidak akan mendengar kata ibunya. Jika seorang guru menyuruh muridnya untuk membuat sesuatu sedangkan dia sendiri tidak membuatnya, muridnya tidak akan patuh suruhannya. Seorang murid perlu mendapatkan murabbinya sebagai qudwah hasanah baginya.

Umat Islam terdahulu mendapatkan Rasulullah sebagai qudwah mereka. Seperti yang diturunkan Allah ke atas kaum muslimin ayat: “Sesungguhnya bagi kamu sekalian dalam diri Rasulullah itu sebuah uswah hasanah (contoh yang baik).”

Semua orang bertanggungjawab dalam usaha tarbiyah perlu menjadi qudwah hasanah bagi orang-orang yang ditarbiyahnya. 

Suatu hari, ketika cuaca panas terik di kota Madinah, Rasulullah keluar dari rumahnya. Dalam perjalanan, Baginda bertemu dengan sahabatnya saiyidina Abu Bakar dan saiyidina Umar. Baginda pun bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu keluar dari rumah mu?” Jawab mereka: “Kami tidak keluar dari rumah kami kecuali kerana sudah terlalu kelaparan, ya Rasulullah!” sambil menyelak baju mereka dan sebiji batu diikat di tengah-tengah perut masing-masing. Lalu Rasulullah menyelak jubahnya dan 2 biji batu diikat di perut Baginda yang sedang meronta kelaparan.

Para sahabat pernah meriwayatkan bahawa mereka selalu berlindung di belakang tubuh sasa Rasulullah ketika peperangan semakin sengit. Rasulullah ketika membahagi-bahagikan tugas kepada para sahabatnya sewaktu mengorek lubang parit, berkata “Dan aku pula akan mengumpulkan kayu-kayu arang.”, yang merupakan bahagian tugas yang paling susah ketika itu.

Kebiasaan saiyidina Umar Bin Khattab ketika menyandang jawatan sebagai Amirul Mukminin, setelah selesai memberi arahan di atas mimbar, beliau akan terus pulang ke rumah dan memberitahu ahli keluarganya: “Aku telah memberi arahan kepada kaum muslimin. Nah! Sekarang orang semua pasti akan melihat kepada kelakuan keluarga Umar.” Jadi, bagi sesiapa yang ingin mentarbiyah, perlu menunjukkan contoh yang baik. Jika tidak, dia akan menjadi bencana kepada dakwah yang dijalankannya.

3 ) Mengembangkan Potensi 

Ketika Rasulullah bertemu dengan saiyidina Abdullah Bin Mas’ud (yang ketika itu sedang menggembala kambing) buat pertama kali dan setelah Baginda bertanyakan kepadanya beberapa soalan, beliau pun berkata “Sesungguhnya kau adalah pemuda yang sangat bijak.” Rasulullah telah membongkar potensi-potensi Abdullah Bin Mas’ud hanya dengan beberapa soalan yang diajukan. Abdullah Bin Mas’ud kemudian itu - dan dengan berkat doa Baginda Rasulullah - telah menjadi salah seorang Imam dan Ulama bagi kaum muslimin. Itulah dia tugas seorang murabbi.

Rasulullah s.a.w telah mengenal pasti potensi para sahabatnya dan selalu menggalakkan mereka mengembangkan potensi masing-masing dengan memberi gelaran-gelaran kepada sahabatnya seperti Abu Bakar As-Siddig (yang selalu membenarkan), Umar Al-Faruq (yang membezakan antara yang hak dan yang batil), Abu ‘Ubaidah Amin Al-Ummah (pengamanah umat), Khalid Bin Walid Saifullah (Pedang Allah). Baginda mengenal potensi mereka. Jika potensi-potensi tepat pada orang yang memilikinya dan dipelihara sungguh-sungguh, akan membuahkan hasil yang sangat baik. Tidak wajar bagi murabbi memberi gelaran yang tidak sesuai dengan keperibadian muridnya.

Pengenalan ini Rasulullah dapatkan kerana baginda sebagai seorang murabbi sering berkumpul dengan para sahabatnya, makan minum bersama mereka, berbual-bual dengan mereka, berlumba dengan mereka dan memahami perwatakan masing-masing keperibadian sahabat-sahabatnya. Ini adalah hasil at-ta’aamul (pergaulan).

Jika seorang ibu hanya sempat melihat anaknya 2 jam setiap hari (kerana kesibukan bekerja di luar rumah) dan si anak menghabiskan baki masa yang lain dengan si pembantu rumah, adakah si anak akan dapat mengembangkan rasa kasihnya pada ibunya, mengambil qudwah hasanah dari ibunya? Jika seorang guru hanya bergaul dengan muridnya sewaktu berada di antara empat dinding bilik kuliah, bagaimana si murid boleh mengambil qudwah darinya? Perlu ditekankan di sini, jika perasaan kasih sayang itu ingin dibina, maka perlu menjalani proses at-ta’aamul itu. 

4 ) Mengambil berat 

Apabila seorang mendatangi saiyidina Abdullah bin Abbas di masjid pada ketika itu beliau sedang beriktikaf di Masjid Nabi, orang itu meminta beliau menunaikan sebahagian hajatnya, maka saiyidina Abdullah bin Abbas mencapai capalnya dan ingin keluar dari ibadah iktikafnya. Saat itu, beliau ditegur oleh beberapa orang yang mengatakan “Wahai Abdullah! Tidakkah kamu ingat bahawa kamu sedang beriktikaf di Masjid Nabi?” Beliau pun menjawab “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya, maka itu adalah terlebih baik dari beriktikaf di masjid ku selama sebulan.”

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Al-Ihya’: “Adalah merupakan kewajipan seorang murabbi untuk mengambil tahu hal ehwal murid-muridnya; rumahnya, rezekinya, tugasnya dan keperluan-keperluannya. Seorang murabbi perlu membantu muridnya dari sudut material hingga dia akan dapat memenangi hati muridnya dan terus membawanya berjalan ke jalan Allah.”

Imam Sa’id Bin Al-Musayyab bertanyakan berita muridnya yang telah tidak menghadiri kuliah ilmunya selama 2 hari. Apabila muridnya ditanya, dia menjawab ringkas “Isteri ku telah wafat”. Si imam pun berkata kepadanya dengan perasaan penuh tanggungjawab “Akan ku kahwinkan mu dengan puteri ku” yang pada ketika itu pernah dipinang oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Sesebuah proses tarbyiah perlu kepada 4 komponen asas ini, iaitu; Murabbi, Murid, Manhaj dan Bi’ah Solehah (suasana yang baik). Dalam konteks dakwah semasa, biasanya kita tidak menghadapi masalah di dalam mendapatkan 3 komponen yang terakhir, tetapi masalah selalu timbul apabila kita cuba mendapatkan sebuah sosok peribadi murabbi yang baik. Jika kita ingin berkhidmat kepada dakwah Islamiah dengan baik, kita perlu mewujudkan sosok-sosok peribadi murabbi yang baik. Bagaimana kita mewujudkan mereka ini? 

Jika kita singkap kembali keadaan umat Islam pada zaman sekarang ini, sekali imbas kita akan mendapati bahawa umat Islam sedang dalam keadaan yang lemah, wilayah-wilayahnya ditawan, Al-Aqsa masih lagi di dalam genggaman musuh. Pernah satu ketika, dua orang tokoh Islam berjumpa, mereka ialah Imam Al-Ghazali dan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. 

Mereka membincangkan bagaimana menyelamatkan keadaan ummah yang sedang tenat pada ketika itu. Akhir sekali, mereka sama-sama bersetuju untuk mengasaskan Madrasah An-Nizamiah (pada ketika itu) dan menjalankan tarbiyah yang sangat berkesan sehingga dapat melahirkan tentera yang dianggotai oleh panglima-panglima Islam seperti ‘Imaduddin Zinkiy dan Salahuddin Al-Ayyubi. Apabila diperiksa aktiviti askar-askar tersebut di waktu malam, mereka didapati sedang bersolat malam, bertilawah Al-Quran atau bermunajat kepada Allah taala, lalu berkata lah panglima perang: “Sesungguhnya tentera seperti ini tidak akan kalah sama sekali.”

Maka jelaslah bagi para pembaca sekalian, bahawa isu kemenangan umat Islam bukanlah satu isu yang rumit tetapi, persoalan yang lebih penting dari itu bagaimana kita mewujudkan barisan murabbi dan individu-individu muslim yang bersedia untuk ditarbiyah atas petunjuk Allah taala.

Sesungguhnya tarbiyah memerlukan kepada roh. Jika roh tarbiyah hilang, maka semua usaha tarbiyah tidak akan memberi kesan dan tidak akan dapat membuahkan hasil yang baik. Saiyidina Ali k.w ketika sudah menyandang jawatan khalifah bertanya kepada para sahabat “Apakah angan-angan kamu semua?” Ada yang menjawab: “Aku berangan-angan jika aku bisa mempunyai harta yang banyak maka akan ku-infaq-kan di jalan Allah”. Namun apabila beliau ditanya “Apakah yang kau cita-citakan, wahai Amirul Mukminin?” Beliau menjawab “Aku bercita-cita jika aku mempunyai orang-orang seperti Abu Bakar, Umar, Abu ‘Ubaidah, Khalid sehingga aku boleh membuka kota-kota dengan orang-orang seperti mereka ini”

Bila Kasih Diberi, Mengapa Dikhianati?

Thursday, November 25, 2010


Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah Allah, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.

Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. Allah.

Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan Allah

Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, Allahlah yang mengurniakannya kepada mereka.

Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,

"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya." [riwayat Imam Muslim]

Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang Allah miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang Allah kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.
Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."

Begitu sekali kasihnya Allah kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?

Menghargai Kasih Sayang Allah

Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.

Namun, Allah lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang. Allah, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang Allah berikan.

Adakah kita tetap buat yang Allah larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.

Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih

Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka Allah. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.

Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.

Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada Allah. Sangat banyak. Kasih Allah kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.

Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" [riwayat Imam Muslim].

Sahabat-sahabat, tergamaknya kita membalas kasih sayang Allah dengan kemungkaran. Hamba apakah kita ini?

Artikel iluvislam.com

Selamat Datang Pengetua Cemerlang, Pn. Hjh Lailawati Ahmad ke SMKA SHAMS

Monday, November 22, 2010

Saff Murobbi BADAR dan Pimpinan BADAR SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban Sesi 2010/2011 mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Bertugas kepada Pengetua Cemerlang, Pn. Hjh Lailawati binti Ahmad di bumi SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban ( SHAMS ).

Pn.Hjh Lailawati merupakan mantan Pengetua SMKA Sharifah Rodziah,Melaka. Beliau menggantikan Pengetua Cemerlang, Pn. Hjh Wan Ruhayah Wan Yaacob yang berpindah ke SMKA Maahad Hamidiah, Kajang. Apa yang menarik, SMKA SHAMS dan SMKA Sharifah Rodziah bagaikan ada hubungan yang erat kerana Pn. Hajah Wan Ruhayah juga merupakan mantan Pengetua SMKA Sharifah Rodziah sebelum berpindah ke SMKA SHAMS.

Buat akhirnya, warga Kerja BADAR yakin dan optimis kecemerlangan SMKA SHAMS akan terus berkekalan dibawah pentadbiran Pengetua Cemerlang, Pn. Hjh Lailawati Ahmad. Selamat Bertugas!


Berikut merupakan latar belakang beliau:


Pn. Hjh Lailawati binti Ahmad


-Dilahirkan pada 01hb September 1958
-Merupakan Pengetua Cemerlang DG 52
-Berasal dari Negeri Sembilan

- Mantan Pengetua :
SMKA Matang,Kuching,Sarawak ( 2004 – 2007 )
SMKA Sharifah Rodziah,Melaka ( 2007 – 2010 )

-Jawatan Sekarang:
Pengetua Cemerlang SMKA Sheikh Hj. Mohd Said ( 2010 )

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM & STPM-Murobbi BADAR SHAMS

Saturday, November 20, 2010


Saff Murobbi BADAR SMKA Sheikh Haji Mohd Said mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan kepada semua calon SPM dan STPM 2010. Kami sentiasa mendoakan agar pelajar - pelajar beroleh kejayaan yang cemerlang!

Ayat yang dibaca sebelum masuk dewan peperiksaan



Tidak ada yang lain melainkan Allah sebagai tempat menunjuk ajar" (An-Najm : 58)


Jom Puasa Hari Arafah ( 9 Zulhijjah 1431H )

Monday, November 15, 2010


Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pula digalakkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga digalakkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik sebuah hadis untuk renungan kita bersama.

Hadits Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ 

“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.” [HR. Muslim no. 1162, dari Abu Qotadah]

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:

Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:

Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: 

“Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]
Allahu a’lam bisshawab..
——————————————————
[1] al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat berdoa di ‘Arafah.” Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sbb hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji

[2] Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.

Temuduga Nuqaba’ dan Naqibat Sesi 2011


Pihak BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said,Seremban akan mengadakan temuduga Nuqaba dan Naqibat pada:

Tarikh : 16 Nov 2010
Hari: Selasa
Tempat : Bilik BADAR Perdana SMKA Sheikh Hj. Mohd Said
Masa: 8.30pg – 12.30 tgh

Objektif :
  1. Memberikan kefahaman yang jelas tentang peranan sebagai nuqaba’ dan naqibat dalam sistem tarbiyah SMKA SHAMS
  2.  Mewujudkan kumpulan nuqaba’ dan naqibat yang berkemahiran dalam melaksanakan usrah
  3.  Memastikan usrah dapat dilaksanakan dengan lancar pada sesi 2011
  4.  Memberikan tasawur awal pelaksanaan usrah pada sesi 2011
Semoga objektif yang digariskan mampu dicapai dan dilaksanakan dengan cemerlang. Mudah – mudahan usaha yang sedikit ini diterima sebagai amalan baik dalam usaha melahirkan individu yang cemerlang dari sudut akademik dan terbilang dari sudut sahsiah.

- Usrah Asas Tarbiyah -

BADAR Mengucapkan Selamat Bersara kepada Pn. Bakiah binti Thani



Nama: Pn. Bakiah Thani
Tarikh Lahir : 12 Januari 1954
Tempat Lahir : Astana Raja,Kota Negeri Sembilan

Pendidikan:
1. Sekolah Kebangsaan Astana Raja,Kota
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Astana Raja,Kota
3. Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka
4. Maktab Perguruan Bahasa,Kuala Lumpur
5. Universiti Putra Malaysia

Pengalaman Mengajar:
1. Sek. Men. Astana Raja, N.Sembilan ( 1971-1981 )
2. SMK Seri Ampangan ( Jan 1986 – Ogos 2000 )
3. SMK Senawang ( Ogos 2000- Julai 2001 )
4. SMK Methodist ACS ( Julai 2001 – Dis 2003 )
5. SMK Puteri ( Jan 2003 – Dis 2004 )
6. SMKA Sheikh Haji Mohd Said,Seremban ( Jan 2005 – Dis 2010 )

BADAR SHAMS Sokong Terengganu Wajibkan Murid Baca Al-Quran 10 Minit

Sunday, November 14, 2010


Langkah Jabatan Pelajaran Terengganu mewajibkan murid membaca Al-Quran selama 10 minit sebelum memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan merupakan usaha yang harus dipuji oleh semua pihak.

Menurut Razali Daud Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, langkah mewajibkan murid membaca al-Quran merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya memberi penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar. Ia juga selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. ( al-Baqarah : 2 )

Pihak Badan Agama,Dakwah,Akhlak dan Rohani ( BADAR ) SMKA Sheikh Haji Mohd Said,Seremban ( SHAMS ) menyokong Jabatan Terengganu atas usaha yang dilakukan dan berharap ia menjadi perintis untuk dicontohi oleh negeri – negeri yang lain.

Tahniah dan syabas JPN Terengganu!

Warna - Warni Bengkel Perancangan Strategik BADAR 2011









Selamat Berbengkel buat Warga Kerja BADAR

Friday, November 12, 2010


BENGKEL PERANCANGAN STRATEGIK
BADAR PERDANA 2011


“KESATUAN FIKRAH KESATUAN TINDAKAN”


TARIKH:

12 DAN 13 NOVEMBER 2010

bersamaan

5 HINGGA 6 ZULHIJJAH 1431H



TEMPAT:

NUBE TRAINING CENTER, PORT DICKSON

Imtihan Dunia Exam Akhirat

Wednesday, November 10, 2010



من علامات النجح فى النهايات الرجوع الى الله فى البدايات

“Daripada tanda kejayaan seseorang itu pada akhir perjuanganya ialah dengan kembali (bermula dengan niat yang ikhlas dan tawakal) kepada Allah sejak mula perjuangannya”.

Perubahan sikap dan nilai ini adalah hasil daripada motivasi @ tekanan peperiksaan. Mancari sebab untuk berubah sememangnya tidak salah. Tetapi sertaikanlah sebab itu dengan niat tulus ikhlas kerana Allah Ta’ala. Agar amalan sempurna penghujungnya. 

Permulaan hasrat ‘berubah menjadi baik’ pada masa yang sama ‘ada udang di sebalik batu’, agar doa dipermudahkan urusan dan lulus imtihan dikabulkan oleh Allah Ta’ala. Ianya langkah mula yang baik namun terselit ‘sedikit kecacatan’. 

Berubah bersebab & ada maksud tersirat inilah yang akhirnya meninggalkan kesan yang sementara. Tidak kekal. Sifar istiqamah dalam amal ibadat, nilai dan akhlak. Jadi, mulakan setiap sesuatu dengan niat yang betul!! 

Carilah punca untuk berubah tapi ikhlaskan niat sebelum melangkah!

Mari kita musabah balik ….. agar imtihan mentarbiah kita.

Sekiranya sewaktu musim peperiksaan kita sanggup berhempas pulas siang dan malam mentelaah pelajaran apa salahnya kita teruskan sikap yang baik ini. Berhempas pulas menuntut ilmu dan berhempas pulas siang dan malam menunaikan kewajipan agama.

Sekiranya kita sering takut, rungsing, bimbang juga resah, semunya tak keruan dalam getir mengharungi imtihan, apa salahnya perasaan yang sama kita teruskan apabila gagal menunaikan perintah Allah dan ketika melakukan maksiat.

Seandainya untuk imtihan kita mampu membuat perancangan belajar yang tepat dan sesuai dengan kehendak masa yang mendesak untuk cemerlang, apa salahnya perancangan yang sama kita mampu buat untuk ibadat harian, mingguan, bulanan, tahunan dan seumur hidup dalam merentasi masa yang juga singkat ini sebelum kita ditentukan sama ada cemerlang atau tidak di padang mahsyar kelak.

Imtihan juga menyebabkan kita berjya menyusun masa dengan baik agar tidak terbazir begitu sahaja apa salahnya hal yang sama kita kekalkan dalam kehidupan seharian. Aturlah hidup agar lebih bermanafaat kepada ummah.

Sewaktu imtihan kita mampu meninggalkan perkara yang lagha dan maksiat apa salahnya perkara mungkar yang sama kita tinggal selepas imtihan.

Sewaktu musim imitihan juga kita cukup jaga pemakanan minda untuk memastikan otak sentiasa cerdas dan badan selalu cergas apa salahnya selepas imtihan selain menjaga hak fizikal tubuh kita turut jaga hak hati agar tidak gersang dengan iman.

Teruskanlah doa munajat, qiammullail, sedekah dan segala amal baik sewaktu dalam muslim imtihan. Tidak rugi mukmin yang istiqamah.

Ini hanyalah sedikit gambaran perubahan sikap yang boleh kita aplikasikan selama-lamanya hasil daripada tekanan imtihan. Mungkin kita serius dalam menghadapi imtihan, bukan sekadar target untuk lulus bahkan cemerlang yang dikejar. Begitulah juga keputusan yang sama perlu kita kejar sempena konvokesyen di padang mahsyar kelak.

Hidup seharian kita adalah ujian. Exam forever. Setiap masa markah dicatit. Sama ada positif atau negatif. Bermula dari bangun tidur maka bermulakah exam kita. Perbuatan yang wajib sudah tentu diberi markah positif, bonus lagi bagi yang sunat bergantung kepada kerajinan. Mungkar pun dapat markah tapi negatif, nasib baiklah perkara makruh kurang dinilai dalam pemarkahan ini. 

Namun exam akhirat ini kurang dirasakan oleh kita. Mungkin sebab markah tak nampak atau result lama sangat nak keluar. Kena tunggu jemputan Izrail, kena tunggu Israfil tiupkan sengkakala dulu. Barulah bermula pemarkahan dan konvokesyen…..

Antara Cinta dan Pengorbanan

Tuesday, November 9, 2010



BULAN Dzul-hijjah, salah satu bulan yang di dalamnya terdapat sebuah peristiwa besar yang tercatat dalam Al-Qur'an, yang penuh hikmah dan nilai-nilai luhur, iaitu hari raya Eidul Adha atau hari raya Qurban.

Kita akan mengenang kembali sejarah peristiwa abadi. Kisah seorang hamba Allah yang menyandang gelaran Khalilullah (kekasih Allah), Nabi Ibrahim a.s. Beliau mendapat gelaran sebagai khalilullah disebabkan kecintaannya kepada Allah yang amat sangat, sehingga menjadi teladan utama sepanjang masa, menjadi guru dan sumber inspirasi yang tiada habisnya bagi mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Sejarah yang ditampilkan Allah dalam al-Qur'an sehubungan dengan hari raya Qurban ini adalah keteladanan keluarga Nabi Ibrahim a.s. Beliau bukan saja sekadar menunaikan perintah-perintah Allah yang dibebankan kepadanya, tetapi menyempurnakannya. Suatu darjat amaliah yang hanya mungkin diraih oleh peribadi-peribadi yang menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada apapun juga. 

Beliau mencintai Pencipta, Pemilik, Pemelihara segala sesuatu, Raja alam semesta, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Cintanya kepada Allah swt. melebihi kecintaan kepada diri sendiri, isteri dan anaknya serta apa-pun selain Allah.

Cinta Nabi Ibrahim a.s. bukanlah cinta tanpa makna, dan bukan pula cinta syahwat. la merupakan cinta yang agung, penuh dengan nilai-nilai kesucian, ketundukan dan kepatuhan kepada yang dicintainya, iaitu Allah swt. Sebab cinta kepada Allah sajalah cinta yang sebenar-benar cinta. Beliau sanggup meninggalkan kesenangan duniawi yang menjadi kecenderungan setiap insan.

Beliau sanggup untuk berjalan kaki berbulan-bulan di tengah padang pasir di bawah terik sinar matahari yang menyengat dari Syam menuju Makkah demi mematuhi perintah Allah untuk membangun Ka'bah. Bertahun-tahun lamanya beliau bekerja di lembah Makkah yang gersang. Mengangkut batu, memasang dan menyusunnya menjadi sebuah rumah. Itulah Ka'bah (Baitullah). la menjadi kiblat shalat, tempat thawaf, pusat kaum Muslimin yang dikunjungi orang-orang beriman dari seluruh dunia sampai hari kiamat.

Nabi Ibrahim a.s. disertai isterinya Hajar, seorang wanita yang kerana cintanya kepada Allah melebihi cintanya kepada selainNya, rela hidup bersama Nabi Ibrahim a.s. di tanah tandus dan kering. Wanita ini menjadi lambang ketaatan dan kepatuhan kepada suami yang patut diteladani sepanjang masa. Ia dengan tabah mendidik dan memelihara anaknya, Ismail, sementara suaminya pergi bertahun-tahun untuk menunaikan tugas Ilahi. Ia sanggup mendidik generasi Rabbani dengan meninggalkan kesenangan-kesenangan yang selalu dinikmati wanita pada umumnya.

Putera mereka, Ismail, juga seorang remaja yang teramat sangat cintanya kepada Allah, yang tentunya merupakan hasil dari didikan orang tuanya. Ismail bersifat lemah lembut, sopan santun, taat dan patuh terhadap perintah Allah serta berbakti kepada orang tuanya. Dia adalah putra idaman Nabi Ibrahim a.s. yang diperoleh setelah lama berdoa kepada Allah, dan diharapkan mewarisi perjuangan orang tuanya menegakkan deen Allah di muka bumi.

Inilah potret sebuah keluarga yang seluruh anggota keluarganya amat cinta dan mematuhi perintah Allah. Untuk membuktikan cinta mereka kepada Allah, sekaligus merupakan bukti cinta Allah kepada mereka, Allah pun menguji dengan perintah yang diabadikan dalam al-Qur'an surah ash-Shaffat 102 -111:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). 

Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang yang berbuat baik. Dan sungguh ini benar-benar ujian yang nyata. Dan Kami (Allah) tebus anak itu dengan sembelihan yang besar, Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian dan kemuliaan) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. Keselamatan dan sejahtera atas Ibrahim. Sungguh dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.

Tinta sejarah yang terukir dalam kisah Ibrahim itu bukanlah sekadar cerita pengantar tidur yang tanpa makna. Ia merupakan suatu peringatan dan pelajaran (ibrah) bagi mereka yang memiliki mata hati (ulul abshar). Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya mengisyaratkan nilai yang teramat agung yakni cinta sejati kepada Allah. Cinta yang melahirkan ketundukan dan kepatuhan yang dibuktikan dengan pengorbanan yang tulus ikhlas.

Pengorbanan, merupakan realisasi dari cinta kepada Sang Pencipta. Bagi kita orang-orang yang mengaku mukmin, sejarah kecintaan, pengabdian dan pengorbanan yang dicontohkan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya merupakan teladan bagaimana seharusnya seorang hamba menyambut panggilan dan tugas-tugas dari Allah.

Semangat kesedaran untuk berkorban yang diwariskan oleh Nabi Ibrahim a.s. ini harus selalu kita tumbuh suburkan, sehingga kelak akan meningkatkan darjat ketaqwaan kita di hadapan Allah swt. Kita tidak boleh berhenti berkorban sebelum ajal datang. Selama hayat masih dikandung badan, selama itu pula semangat berkorban yang dilandasi cinta kepada Allah, harus selalu menggelora di dada kita.

Mampukah kita mengorbankan segala harta dan masa
Apatah lagi jika yang menjadi taruhan adalah nyawa
Sungguh, kita umat akhir zaman yang lalai dengan dunia
Sehingga lupa kepada cinta kepada Pencipta
Masa dibazirkan dengan berhibur dan duduk bersahaja
Harta menjadi aset untuk berlumba siapa yang lagi kaya
Bila ditanya bila nak bertaubat,jawabnya bersahaja
Tunggu nanti bila meningkat tua
Sia-sia lah separuh usia amanah dari Yang Esa.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah, telah cukupkah pengorbanan kita kepada agama ini sepertimana pengorbanan Nabi Ibrahim,Siti Hajar dan Nabi Ismail, kerana sejarah telah membuktikan, tiada cinta tanpa pengorbanan!

Tahniah kepada Guru Cemerlang SMKA SHAMS 2010

Pihak Murobbi BADAR SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban ingin mengucapkan tahniah kepada
Ust. Mohd Zaini bin Sejo yang menerima kenaikan pangkat Guru Cemerlang Bahasa Arab daripada pihak kementerian Pelajaran Malaysia bagi sesi 2010. Beliau merupakan Murobbi BADAR SMKA SHAMS,Merangkap Ketua Warden. Kenaikan pangkat beliau diumumkan secara rasmi oleh Tn. Hj. Norazam bin Hj. Nayan,Penolong Kanan Pentadbiran semasa Jamuan Akhir Tahun dan Anugerah Q SMKA Sheikh Mohd Said bagi sesi 2010 di Alson Klana Resort,Seremban.

Disamping itu,pihak Murobbi BADAR juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada 2 orang guru SMKA SHAMS yang turut menerima kenaikan pangkat Guru cemerlang iaitu
Pn. Samsiah bt. Mat Yusof,Guru Cemerlang Sains dan
Pn. Faiizah bt. Mohd Yusof,Guru Cemerlang Matematik. Dengan bertambahnya 3 orang guru cemerlang, maka jumlah terkini Guru Cemerlang SMKA SHAMS ialah 9 orang.

Semoga dengan pertambahan guru cemerlang, SMKA SHAMS akan terus cemerlang dan terbilang sesuai dengan motto yang digariskan oleh pihak sekolah iaitu SHAMS terus cemerlang.Tahniah!

Sultan Muhammad Al-Fateh:Renungan buat Sang Pemimpin

Sunday, November 7, 2010

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya; "Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik."

Sultan Muhammad Al Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan mangkat pada 3 Mei 1481. Detik kelahirannya pun sudah mengisyaratkan bahawa ia bakal menempa sejarah yang besar. Kejayaan yang bakal ditempanya sudah dapat dirasai apabila berita kelahirannya disampaikan kepada ayahandanya Sultan Murad, tepat ketika baginda sedang membaca Al Quran pada ayat yang bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"(Al Fath:1)

Semenjak dari kecil dia sudah diajar dan dididik dengan ilmu agama.Panglima-panglima tentera telah dijemput oleh ayahnya untuk mengajarnya ilmu peperangan.

Ayahanda baginda,Sultan Murad begitu menitikberatkan tarbiah kepada anaknya.Hati anaknya telah ditempa dengan jiwa jihad dan ilmu peperangan semenjak kecil lagi. Dia tidak dimanjakan, walaupun beliau hidup dalam istana. Jiwa mujahid dan abid berpadu sekali. Inilah merupakan ketua yang malamnya bagai rahib merintih pada ALLAH dan sangat kuat beribadah manakala siangnya bagaikan singa-kuat berjuang.

Dengan tujuan mendidik, sewaktu berumur 16 tahun pernah Sultan Muhammad Al Fateh diberi kepercayaan oleh ayahandanya untuk memangku jawatannya sebagai pemerintah Turki semasa Sultan Murad pergi ke Pulau Magnesia untuk bersuluk. Beliau mula menduduki takhta pada masa umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif mengenai tipu helah musuh

Ketika Maharaja Kristian dari Konstantinopel telah mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, beliau menyuruh guru-guru tersebut pulang sambil berkata "Haram hukumnya seorang Islam ditarbiah oleh orang kafir."

Sewaktu pemerintahannya juga, baginda membangunkan sebuah benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga dengan itu ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut kerja juga.

Hati Maharaja Rom gementar melihat usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu. Benteng yang dibina siap dalam masa tiga bulan. Dari benteng itu, dikawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan kelengkapan untuk membebaskan Konstantinopel - cita-cita utamanya untuk merealisasikan hadith yang telah disabdakan Rasul tercinta 700 tahun sebelumnya.

Setelah persiapan taqwa dan kekuatan lahiriah telah mantap, peperangan dimulakan. Berbulan-bulan lamanya berlaku peperangan, namun belum tampak tanda-tanda kemenangan di pihak tentera Islam. Muhammad Al Fateh pun merujuk guru mursyidnya, Shamsudin Al Wali bilakah masanya benteng Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Gurunya melalui firasat memberitahu: pada hari yang ke 53, hari Selasa pukul 11.00 pagi

Di sepanjang tempoh menunggu tersebut, kesemua tentera menghabiskan masa dengan perjuangan yang gigih di siang hari serta mempertingkatkan ibadah di malam hari.

Pada 29 Mei 1453, baginda berjaya menawan Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadith Rasulullah. Konstantinopel telah ditukar nama kepada Islambol (Islam keseluruhan) yang mana kini dikenali dengan nama Istanbul.

Baginda menunjukkan sikap berlemah lembut dan bertoleransi yang sangat mengagumkan. Rakyat pada ketika itu diberi kebebasan untuk beragama. Semua gereja yang ada dikekalkan untuk Kaum Nasrani beribadah kecuali gereja Aya Sophia telah ditukarkan kepada masjid.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam.

Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.

Muhammad Al Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!" sebahagian daripada tenteranya duduk.

Muhammad Al Fateh meneruskan lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.

Begitulah kisah pemerintah yang begitu akrab hubungannya dengan Allah. Berbeza dengan kebanyakkan pemerintah hari ini yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada agenda yang diperintahkan oleh Allah.

Sasaran Kerja BADAR



OBJEKTIF

  1. Melahirkan 50 pemimpin murid berketerampilan dan berfikrah Islam yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan.
  2.  Melahirkan murid yang bersahsiah cemerlang dan mampu berperanan dalam masyarakat, agama dan negara.

BIDANG PENCAPAIAN BADAR
  • Budaya Ilmu
  • Kepimpinan Berketerampilan
  • Sahsiah Terpuji
  • Jati Diri
  • Program Kemasyarakatan

Organisasi BADAR



PEGAWAI KPI
Pn. Hajah Darnawati bt. Omar
Pn. Hajah Aminah bt. Rahman
Pn. Saodah bt. Sharif

GURU PENASIHAT
Pn. Syakirah bt. Mohd Razman
Pn. Nuri bt. Ab. Hak

MUROBBI
En Azimi bin Othman
Encik Mohd Zaini bin Sejo
En. Mohd Khairul Hidayat bin Berahim
En. Noor Hisham bin Mustapa
En Mohd Hafiz bin Hassan
En. Mohd Nasiruddin bin Mohammed Aziz
Pn. Hajah Asmah bt. Abd. Rahim
Pn. Nahayati bt. Abd. Ghani
Pn. Noor Bee bt. Alias
Pn. Surahaya bt. Ismail
Pn. Sawiyah bt. Zainal
Pn. Zahariah bt. Buntal
Pn. Hajah Zuriyanai bt. Ismail
Pn. Nazlina bt. Sadali
Pn. Norhapiza bt. Mat Isa

ORGANISASI PELAJAR

Pengerusi
Muhammad Ihsan Mohd Johan

Timb. Pengerusi
Nur Afifah Shamsuri

Setiausaha
Nur Muhaimin Aidil Muhaimi

Timb.Setiausaha
Nurul Husna Ahmad Yakob

Bendahari
Wan Abd Rahim Ismail

Timb. Bendahari
Anis Farahin Shaharin

Exco Lajnah Musolla Dan Ibadah
Mohd Siddiq Bin Abdullah
Nur Khalidah Mohd Amir

Exco Lajnah Usrah Dan Tarbiah
Muhammad Farhan Norhizam
Amierah Abdullah

Exco Lajnah Penerbitan Dan Multimedia
Muhammad Nazmi Hashim
Nur Hanisah Baharuddin

Exco Lajnah Ceramah Dan Penerangan
Ahmad Hazimin Ahmad Kamal
Mishkat Nur’aisyah Binti Ali

Exco Lajnah Nadwah Dan Dakwah
Mohd Hafizi Rozali
Ain Syahirah Muhammad

Exco Lajnah Ekonomi Dan Kebajikan
Wan Abd Rahimn Ismail
Anis Farahin Shaharin

Exco Lajnah Dokumentasi
Mohd Nasyriq
Nur Farhiyah Zahar

Sejarah Ringkas Badar SMKA SHAMS

Friday, November 5, 2010


  • Badan ini telah ditubuhkan bagi menyambung tugas yang pernah dipikul oleh Persatuan Pelajar Islam(PPI).
  •  Tujuan pertubuhan ini adalah untuk melahirkan generasi yang menyeru kepada ma’ruf dan mencegah perkara munkar.
  •  Pada hujung tahun 1990, kehadiran Ust. Saiful Bahrin telah mencorakkan sinar yang baru. 
  •  Badan ini mula diwajibkan kepada semua pelajar. 
  •  Badan ini telah dirasmikan oleh Ust. Khuzaimah bt Sulaiman di perhimpunan SMKA SHAMS pada 12 Februari 1992.
  •  “ Buku Peningkatan Sahsiah” telah dihasilkan oleh Ust. Saiful Bahrin pada tahun 1993 bertujuan untuk memperbaiki sahsiah pelajar. 
  • Pada tahun 1994, Hasil daripada perbincangan lanjut bersama-sama guru penasihat, maka wujudlah Buku Panduan Usrah untuk semua peringkat dari tingkatan 1-6.
  •  Operasi memberi kefahaman dan penghayatan islam yang jelas kepada para pelajar telah dipergiatkan. 
  •  Program Minggu Anti Murtad mendapat reaksi positif dari para pelajar sehingga membawa nama SMKA SHAMS ke Negeri Sembilan kerana hebatnya program ini. 
  •  Pada tahun 1999, tema “Generasi Rabbani Penggerak Tajdid Islami” telah membuka mata pelajar SHAMS. 
  •  BADAR telah diletakkan antara salah satu unit Lembaga Ketua Pelajar(LKP) selain unit asrama dan sekolah.
  •  Program-program BADAR telah mendapat sambutan daripada para pelajar. 
  •  Motto “Ke Arah Merealisasikan Akhlak al- Quran “ pada tahun 2005 menjadi kunci kepada BADAR pada masa itu. 
  •  Kecemerlangan akhlak pelajar SMKA SHAMS telah menjadi keutamaan. 
  •  Pada tahun 2006, di bawah bimbingan Ust, Khuzaimah Sulaiman, sebuah buku sukatan usrah telah berjaya dihasilkan oleh guru-guru agama SMKA SHAMS. 
  •  Buku ini mengandungi panduan sukatan usrah dari tingkatan 1-5. Buku sukatan ini telah digunakan oleh semua SMKA di seluruh negara
  •  Penghasilan buku ini merupakan suatu pencapaian yang besar bagi BADAR. Beberapa bengkel turut dikelolakan oleh guru- guru penasihat BADAR untuk memberi penerangan kepada guru-guru dari sekolah lain. 

SMKA SHAMS Seremban

Thursday, November 4, 2010



Nama :- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said
Singkatan :- SMKA SHAMS
Penubuhan :- 1959 M, Sri Menanti
Alamat :- Jalan Tunku Kurshiah,
70400 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus
Usia :- 51 Tahun, (2010)
Status :- Sekolah Kluster
Motto :- Dunia dan Akhirat Tuntutan Hidup

Kedua-dua bidang ilmu iaitu ilmu akademik dan ilmu agama sama pentingnya dan dituntut oleh pelajar-pelajar sekolah ini. Keseimbangan ini jelas untuk memantapkan kehidupan seseorang insan muslim.

Visi :- SMKA SHAMS Sebagai Institusi Pengajian Islam Bertaraf Dunia
Misi :- Memberi Pendidikan Berkualiti Untuk Menjana Pelajar Cemerlang Di Dunia Dan Sejahtera Di Akhirat Berdasarkan Aspirasi Agama Dan Negara
Slogan :- SHAMS Terus Cemerlang