Pra Muktamar BADAR :" القوي" دان "الأمين" ( Kekuatan dan Amanah)

Monday, May 19, 2014


Nabi Musa a.s. pernah membantu dua orang anak nabi Syuaib mengambil air di telaga. Maka salah seorang anak nabi Syuaib mencadangkan agar ayahnya mengambil nabi Musa bekerja bersama mereka kerana dia melihat Musa sebagai seorang yang kuat lagi amanah. “Wahai ayahku! Ambillah dia menjadi orang upahan kita, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah!”- Surah al-Qasas ayat 26. Bila ditanya, bagaimana kamu mengetahui dia seorang yang kuat lagi amanah? Anaknya menjawab, dia mampu mengangkat penutup perigi dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan biasanya lebih tujuh orang diperlukan untuk mengangkat! Dia juga memelihara pandangan dan bila jalan bersama dia menyuruh kami berjalan di belakangnya.

Antara dua pilihan

Jika anda diberi pilihan antara seorang yang alim atau warak dengan seorang lagi yang tidak alim tapi pandai merancang dan mengurus, siapakah yang akan anda pilih untuk menjadi ketua? Ada seorang yang bijak berbicara tentang ikhlas, amanah dan tanggung jawab dunia dan akhirat. Bukan setakat itu sahaja, dia memang benar-benar ikhlas lagi amanah. Ada seorang lagi yang pandai menghuraikan teori-teori perancangan dan pengurusan seperti PODC, PDCA, SWOT, SMART dll. dan berjaya membuktikannya. Soalan yang serupa; siapakah yang akan anda pilih untuk menerajui organisasi yang anda anggotai atau melaksanakan sesuatu tugas?

Jawapannya… bergantung kepada nisbah kekuatan dan amanah yang diperlukan untuk menanggung tugasan tersebut.

Dua kategori

Antara perkara yang boleh dikategorikan sebagai kekuatan ialah tubuh badan yang sihat lagi bertenaga, ilmu dan kemahiran berkaitan tugas, rajin bersemangat lagi berani menjayakan tugas, mudah berinteraksi dan mempengaruhi orang lain dsb. Manakala amanah pula ditunjukkan oleh sifat-sifat jujur, ikhlas, boleh dipercayai, benar dalam kata-kata dan tindakan, penyabar, sopan santun dsb.

Adalah suatu yang ideal jika kita menemui seseorang yang terhimpun padanya ciri-ciri kuat dan amanah ini. Kerana ia selari dengan saranan ayat yang menjadi rujukan tadi. Dan memang terbukti sepanjang zaman, orang yang memiliki dua syarat ini sahaja yang layak diserahkan kepadanya sesuatu urusan. Jika tidak ditemui, maka timbangkanlah adakah urusan itu lebih memerlukan kekuatan atau amanah.

Sebagai contoh

Contohnya sifat amanah lebih utama bagi jawatan bendahari berbanding kemahiran membuat kunci kira-kira, ilmu dan kefahaman syarie lebih utama bagi seorang imam berbanding kemahiran mengendalikan laman web, kemahiran merancang dan mengurus lebih diperlukan bagi seorang pengerusi berbanding sifat sabar, rajin dan cekap bekerja lebih diperlukan untuk jawatan siak berbanding dengan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran dan begitulah seterusnya. Maka kita perlu bijak meletakkan nisbah keperluan tersebut agar pilihan tepat dan orang yang lebih layak sahaja dipilih.

Situasi sekarang

Memandangkan sukar menemui individu yang terkumpul padanya kuat dan amanah ini, maka saling lengkap melengkapi dan kuat menguatkan adalah amat perlu. Yang kurang kita tampung, yang lebih kita tumpang! (Betul ke ungkapan saya ni?) Golongan muda yang bersemangat perlu berganding dengan golongan veteran yang selalunya lebih berhikmah, para alim ulamak perlu bergabung dengan golongan teknokrat, kelompok yang ada kekuatan fizikal perlu menyumbang tenaga menjayakan idea-idea bernas yang dihasilkan para pemikir… Andaikata semua pihak ikhlas untuk menyumbang dan beramal, insya Allah akan ada jalan keluar.

Tapi, alangkah indahnya kalau orang itu memang seorang yang kuat lagi amanah!

Wallahu a’lam.