Hukum Sambutan Tahun Baru Masehi-Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

Saturday, December 31, 2011


Soalan
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

Jawapan
Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha. 

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya. 

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat. 

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu. 

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219). 

Terdapat satu kaedah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65) 

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu, mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang akibat dari sebab-sebab luaran.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

Kepentingan Solat Istikharah dalam kehidupan harian

Friday, December 23, 2011

Oleh: Ismail Abu Bakar

dilemma.jpgBila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.



Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.


Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.


Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.


Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah. 



Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan.

Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.




doaistikharah.jpg

Terjemahan Doa’ :

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. 

Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.

Wallah hu ‘alam

Pesanan buat semua calon PMR SMKA SHAMS 2011


Alhamdulillah...hari ini SMKA Sheikh Hj. Mohd Said (SHAMS) mencipta sejarah baru kecemerlangan dalam peperiksaan PMR dimana 75 orang calon mendapat semua A (9A)  daripada 151 orang calon dengan gred purata sekolah (GPS) 1.16 berbanding 1.20 pada tahun 2010.Sesungguhnya kejayaan ini amat membanggakan kepada semua warga SMKA SHAMS.

Di peringkat murobbi BADAR mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada semua calon PMR 2011. Kecemerlangan dan kejayaan yang kalian terima merupakan anugerah daripada Allah SWT setelah kalian berusaha,berdoa dan bertawakkal kepada-NYA.Kepada mereka yang kurang mencapai tahap yang disasarkan,anggaplah ini sebagai suatu cabaran untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang. InsyaAllah,nikmat Allah itu sentiasa terbuka luas kepada hamba- hambanya yang sentiasa berusaha dan berdoa kepada-Nya.

Selepas ini sudah pasti semua calon akan berkira - kira untuk membuat pemilihan samada untuk kekal di bumi tarbiyah SHAMS atau berpindah dan membuat pilihan samada ingin mengambil aliran sains atau sastera. Pesanan diperingkat murobbi buatlah pertimbangan yang sewajarnya supaya pilihan yang akan dibuat benar - benar tepat. Disamping bertanya kepada mereka yang berpengalaman,jangan lupa kita ada yang lebih berkuasa untuk menentukan pilihan tersebut iaitu ALLAH. Buatlah solat istikharah untuk memohon kepada illahi agar keputusan yang dilakukan mencapai keredhaaannya.Kerana sebagai seorang hamba yang lemah,Allah jualah tempat untuk kita bergantung.Mudah-mudahan pesanan ringkas ini dapat membantu kalian membuat keputusan terbaik dalam masa yang sama kita berusaha untuk mencapai keredhaaan-NYA 

Senarai Organisasi Murobbi BADAR SMKA SHAMS 2012

Thursday, December 22, 2011



Pengerusi: Pn. Hjh Lailawati Ahmad ( Pengetua Cemerlang )

Timb. Pengerusi: Pn. Hjh Asmah Abd Rahim ( GPK HEM )

Naib Pengerusi 1: Tn. Hj.Norazam Hj. Nayan ( GPK Pentadbiran )

Naib Pengerusi 2 :  Pn. Hjh Habidah Abd. Latiff ( GPK Kokurikulum )

Naib Pengerusi 3: En. Mohd Azimi Othman ( GPK TING. 6 )

Pegawai KPI BADAR: Pn.Nahayati Abd. Ghani

Setiausaha: En. Mohd Khairul Hidayat Berahim

Pen. Setiausaha: Cik Masyitoh Yaacob

Penyelaras Bilik: Pn. Zahariah Buntal


AJK:

Pn. Noor Bee Alias

Pn. Aisah Asmam

Pn. Sawiyah Zainal

Pn. Sharidah Ibrahim

Pn. Hjh Aminah Rahman

Pn. Nurhidayu A. Rahman

En. Mohammad Faisal bin Kamis

Semua Guru Pend. Islam & B. Arab

Aku, BADAR dan PERUBATAN

Wednesday, December 21, 2011

Dulu, masa mula-mula masuk SMKA SHAMS, aku tak tahu pun BADAR tu apa. Tahu-tahu je wajib datang usrah setiap hari Isnin. Orang panggil usrah BADAR. So aku ingat BADAR tu sekadar usrah la. Lepas kelas, duduk dalam satu kumpulan, ada senior yang membebel itu ini. Lepas sejam, tutup buku usrah, balik. Macam tu lah setiap minggu. Memang aku tanamkan dalam fikiran bahawa BADAR itu sekadar usrah setiap hari Isnin. Sampai tingkatan 3 aku masih berfikiran sedemikian.

Naik tingkatan 4, aku dilantik menjadi Ketua Pelajar (pengawas). Pada masa yang sama, terpilih sebagai salah seorang pimpinan BADAR. Aku tercengang. Dalam fikiran aku, BADAR masih lagi sekadar usrah hari Isnin. Masa tu memang rasa nak tolak perlantikan tersebut. Tapi aku fikir why not give it a chance? Mana tahu ada sesuatu yang Allah nak tunjuk kat aku. Perancangan Allah adalah yang terbaik.


Maka aku pun mula mengenal apa itu BADAR. Rupanya ia bukan sekadar usrah semata-mata. Malah lebih dari itu. Bak kata Ustazah Syakirah, "BADAR lah yang bertanggung jawab membentuk sahsiah pelajar-pelajar SHAMS,". Makin hari aku makin faham apa yang dibawa oleh BADAR. Aku bukannya bekerja seorang, tetapi bersama saf kepimpinan yang cukup aku hormati. Sebagai pimpinan, kami mentarbiyah, pada masa yang sama, ditarbiyah. Sebagai pimpinan, kami merancang dan menguruskan macam-macam aktiviti untuk dilaksanakan. Kem latihan naqib, usrah, kursus imam-imam, bengkel pembangunan insan, motivasi penghayatan Islam, kuliah pengajian kitab, mahabbatur Rasul dan banyak lagi. Pelbagai pengalaman pahit, manis dan payau yang aku terima sepanjang bersama dengan BADAR. Ada masanya, rasa lemah semangat. Rasa tak mampu nak pikul tanggung jawab besar itu. Besarnya melebihi Gunung Everest. Itulah amanah. Akan dipersoalkan di akhirat kelak. Tapi di saat lemah, kata-kata Ustazah sentiasa menjadi pembakar semangat. "Bila kita bantu agama Allah, nescaya Allah bantu kita,". Aku yakin dengan ayat tersebut. Aku yakin kerja-kerjaku dalam BADAR adalah kerja-kerjaku untuk umat Islam. Kerana BADAR lah SMKA SHAMS aku anggap sebagai bumi tarbiyah di zaman persekolahan dulu. Dan sekiranya aku tidak dilantik menjadi pimpinan suatu masa dahulu, sudah tentu aku masih menganggap BADAR hanyalah usrah semata-mata. Tiada usaha untuk memahami kebenarannya. Sama juga seperti pelajar-pelajar lain yang tidak berminat melibatkan diri dengan program BADAR. Sudah tentu mereka merasakan semuanya hanya buang masa. Aku tak salahkan mereka. Cuma diri sendiri lah yang rugi.

Tiba di bumi Mesir, tiada lagi BADAR seperti di sekolah dulu. Ada PERUBATAN. Aku teringat kembali zaman-zaman muda remaja dulu, aku jenis yang tak ambil kisah hal sekeliling. Hanya apabila diberi tanggung jawab, barulah tergopoh-gapah cuba mengambil tahu. Aku tak mahu lakukan kesilapan yang sama. Aku bukakan hati untuk menerima dan mengenali PERUBATAN. Dasarnya Al-Quran dan as-sunnah, sama seperti SHAMS, dan sudah tentu, BADAR. Apabila dasarnya sudah sama, tentulah matlamat juga sama. Maka aku mula menjinak-jinakkan diri mengenali PERUBATAN. Ya, PERUBATAN bukan sekadar SC (Smart Circle) semata-mata. Bukan juga sekadar aktiviti medik sahaja. Bukan pula sekadar menjaga kebajikan. Walaupun namanya persatuan PERUBATAN, tapi konsepnya adalah seperti sebuah jemaah. Di dalamnya kita ditarbiyah serta mentarbiyah. Bersamanya kita belajar untuk membentuk diri. Memang benar, jika kita tidak bersama dengan PERUBATAN, memang kita tidak tahu apa di dalamnya. Sama keadaannya seperti aku dan BADAR suatu ketika dahulu. Jika tak sertai, memang kabur habis, rasa macam tak ada apa-apa. Kuncinya adalah dengan menyertai dan melibatkan diri.


Apa yang aku suka tentang PERUBATAN, tiada diskriminasi di dalamnya. Bukan hanya pelajar bertudung labuh yang boleh sertai. Bukan hanya pelajar dapat pangkat mumtaz boleh libatkan diri. Tapi ia terbuka untuk semua pelajar PERUBATAN tanpa mengira asal, sekolah lama, pemikiran, keturunan, keputusan peperiksaan, gaji ibu bapa dan apa sahaja aspek yang boleh menjadi isu diskriminasi. Secara peribadinya, aku menganggap PERUBATAN adalah kesinambungan daripada BADAR. Pentarbiyahan berterusan. Pembentukan diri masih diteruskan. Oleh kerana itu, amat rugi jika aku berfikiran sempit dan tidak membuka hati untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. Dalam PERUBATAN sudah ada macam-macam. Apa lagi yang aku inginkan? Syukur ku kepada Allah kerana adanya kesinambungan, adanya cara untukku meneruskan pengislahan dan pembentukan diri di bumi Mesir.

Selaku manusia yang pernah menjadi pimpinan (BADAR) yang bekerja merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat orang lain, pada masa yang sama menjalankan tanggung jawab sebagai pelajar, aku harap agar pimpinan PERUBATAN terus gagah dan cekal menjalankan amanah masing-masing. Allah tengok usaha, bukan hasilnya. Moga-moga segala usaha kalian diberkati Allah.

Selaku manusia yang pernah menjadi ahli biasa (BADAR) yang asalnya malas nak ambil tahu dan berat tulang nak libatkan diri dalam program, aku nasihatkan kepada ahli biasa (PERUBATAN) yang lain agar bukakanlah hati kalian untuk menerima apa yang dibawa oleh PERUBATAN. Fikirkanlah....mereka (pimpinan) buat macam-macam bukan untuk diri sendiri, tapi untuk manfaat kita semua. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang memikul amanah besar itu. Marilah kita bersama membantu mereka. Jika tidak mampu membantu, sokonglah mereka walau dengan sekadar menyertai aktiviti. Mereka juga manusia, mereka juga pelajar, mereka juga hamba Allah, sama seperti kita.

Hakikatnya masing-masing tidak sempurna, semua ada kekurangan. Tapi itulah hikmahnya kita berada dalam PERUBATAN, saling melengkapi.

Semoga coretan ini dapat membuka hati dan minda kita semua