Kem Anak Soleh ( KEMAS ) 2011 Kembali Lagi...

Thursday, March 31, 2011


Panatia Pengajian Islam SMKA Sheikh Hj. Mohd Said ( SHAMS ) dan Badan Agama,Dakwah, Akhlak dan Rohani ( BADAR ) dengan Kerjasama Alumni akan mengadakan Kem Anak Soleh ( KEMAS ) 2011 bermula 1 April ( Jumaat ) - 3 April ( Ahad ) 2011 bertempat di SMKA SHAMS.

KEMAS merupakan program tahunan SMKA SHAMS yang mana melibatkan semua pelajar tingkatan 1 dan alumni sebagai tenaga fasilitator.Program ini bertujuan bagi memantapkan lagi pemahaman para pelajar dalam aspek ibadah khususnya berkaitan solat.Selain itu, ia  juga menerapkan elemen pemantapan jatidiri dan sahsiah unggul disamping melatih pelajar - pelajar agar bersiap siaga untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Warga Kerja Murobbi BADAR mengucapkan syabas dan tahniah kepada alumni yang sudi menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti kepada sekolah dalam usaha memastikan generasi SHAMS di didik dan ditarbiyah mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.Murobbi BADAR juga mendoakan agar program yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan illahi seterusnya menghasilkan impak yang positif kepada para pelajar.Siru a'la Barakatillah.....

Dimana DIA Dihati Kita

Sunday, March 27, 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam kepada Junjungan Nabi, serta ahli keluarganya dan para sahabatnya sekelian.

Hati (heart) adalah satu organ yang ajaib. Ia berdegup 100,000 dan mengepam 100 gelen darah setiap jam. Bayangkan jika kita mengangkat air sebanyak itu dalam sejam. Mengikut sebuah kajian, otak sentiasa menghantar mesej ke otak , tetapi hati kadang-kadang tidak patuh. Fikiran kita mengatakan "kena solat", tetapi hati (perasaan) kita kata nak sambung tidur.

Oleh itu, hati yang cerdik adalah hati orang mu'min yang merasai dekat dengan Allah, merasai Allah itu ada dihati kita. Butanya hati kerana jahil (tidak berilmu). Maka banyak manusia yang menjadi musuh kepada apa yang ia jahil lalu memusnahkan Islam dengan rasa cinta pada Islam.

Rata-rata , walaupun seorang insan itu belajar agama sejak dari sekolah rendah lagi, tetapi apa yang dipelajari lebih berbentuk ilmu pendrive atau ilmu 'copy paste'. Ilmu yang dipelajari tidak lebih dari pengetahuan agama, ilmu yang diletakkan di kepala, yang tidak menjadi kemahuan agama (ilmu yang masuk dihati).

Tempatkan Allah di hati

Ibarat sebuah lampu yang diletakkan di atas atap , tidak akan mampu menerangkan sebuah rumah , dibandingkan lampu yang diletakkan di dalam sebuah rumah.

Untuk menganalisis hati kita, cuba jawab soalan ini;

a. dengan siapa kita bergaul?
b. buku apa yang kita baca? (termasuk Al-Quran? dan yang berkaitan dengannya?)

Manusia akan menjadi luar biasa kerana hatinya akrab dengan Allah. Sebenarnya Allah tidak pernah meminggirkan kita, tidak menjauh dari kita, tetapi kita sendiri memilih untuk jauh dari Allah.

Hati yang dikuasai dengan kebaikan , akan melahirkan kebaikan yang banyak.
Begitu juga hati yang dikuasai dengan kejahatan, akan lahir kejahatan yang banyak.
Ilmu yang dihati akan melahirkan output - 'walk the talk', 'actions that speak louder than words' , lebih banyak mengajak dari semata-mata mengajar - mendidik.

Semak Kualiti Hati

Cuba kita semak kualiti hati kita. Dari manakan datangnya kejahatan pada hati - takabur, angkuh, sombong, riak. Manusia akan merasa besar diri, megah, rasa hebat dan lebih baik dari orang lain, kerana tidak merasai kebesaran Allah di dalam hatinya.

Sebab itu mutakhir ini, manusia yang berjaya dikatakan manusia yang mempunyai spiritual intelligence (kecerdikan dalaman/rohani) yang tinggi - ada perasaan bertuhan,ada Allah di hatinya. Dia tahu dia dari mana, untuk apa ia dijadikan dan kemana ia akan pergi. Solat bukan hanya menjadi rutin atau ritual harian tetapi spiritual ( Solat yang mempunyai ruh).

Menyembah Allah dalam ertikata sebenar bukan hanya menyembah Agama. Ada rasa THE ENDS yakni akhirat. Orang-orang barat sibuk mencari Green Society walhal jawapan itu ada dalam Islam.

Walaupun bagaimanapun, sesuatu yang berharga memang sukar untuk mendapatkannya. No Pain No Gain. Perlukan Mujahadah. Jannah itu dipenuhi dipagari dengan kesusahan manakala neraka dipagari dengan keseronokan.

Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis, hati nak jadi baik bukan mudah. Namun hati nak jadi jahat senang. Lebih mudah untuk mengumpat, mengeji manusia dari mengatakan sesuatu yang melahirkan kasih sayang.

Kenapa kita perlu ada perasan kita lebih baik dari orang lain sedangkan solat sunat qabliah, ba'diah, dhuha, tahajud, witir pun tak lepas. Mencela, memandang hina dan memperlekehkan orang lain. Sedangkan insan yang mulia, yang luar biasa hebatnya solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki. Kaki kita ???? Hebat ke???

Adakalanya kita merasa comfortable- solat, puasa, zikri, baca Al-Quran , tahajud , semua OK. Tetapi ia mungkin menjadi 'graviti sifar'. Rasa dah OK. selamat. Maka kita perlu sesuatu kuasa yang kuat untuk melonjak kita keluar dari zon keselesaan itu. Sebab itu ujian, musibah datang sebenarnya adalah untuk mendidik hamba.

Didikan dari sebuah ujian atau musibah menimbukan bekas lebih dari kesan solat pada seseorang. Ia merupakan mehnah yakni didikan direct dari Allah melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku didunia. Di situ dididik sifat sabar, redha, raja'. Khauf.

Peringkat Mujahadah

Peringkat mujahadah pula berubah dari "I have to pray" ( BISA) - rasa seperti beban. Maka kita akan merasa lega setelah selesai solat. Seterusnya akan naik kepada "I need to pray" (BIASA). Akan merasa bahgia ketika solat. Seterusnya meningkat kepada mendapat halawah (rasa manis ketika solat) dan mereka akan menjadi Pembela Kebenaran.

Sesuatu kebaikan itu akan hanya lahir dari satu kebenaran. Pembohongan, penipuan tidak akan melahirkan sesuatu kebaikan. Untuk berubah kepada kebaikan, nafsu ibarat bayi yang menyusu. Jika dipisahkan dari menyusu, maka dia akan menangis, meronta, mengamuk. Jika kita diamkan dan biarkan dia meronta, maka satu hari nafsu itu akan jinak.

Dalam melalui jalan menuju Allah, kita jangan mengalah walaupun berkali-kali kalah dengan kejahatan. Allah tidak akan jemu jika kita tidak jemu. Allah pula tidak menilai EFFECT tetapi Allah menilai EFFORT. It is not the destiny but the journey will be evaluated by Allah. PAY NOW PLAY LATER. Carilah pergaulan yang soleh, ikhlas dalam pergaulan, menyayangii kita kerana cintakan akhirat. Cinta makhluk hanyalah alat untuk cinta Allah, cinta makhlukbukanlah tujuan.

Cintailah yang mencintai kita, jangan kita cinta orang yang kita cinta.
Ingatlah Allah itu menyintai kita, maka cintailah Allah dihati kita

Dalam kita berusaha mendapatkan sesuatu, pastikan apa yang kita dapat faedahnya lebih besar dari apa yang kita hilang. Umpamanya menghadiri majlis ilmu, kita akan mendapat ilmu, peringatan, tetapi kita akan hilang waktu rehat.

Kita dapat rehat tetapi kita mungkin hilang peluang berada dalam majlis ilmu. Yang mana pilihan kita??

Keputusan MTAQ Peringkat Daerah Seremban ( SMKA SHAMS )

Saturday, March 26, 2011

Tilawah Al-Quran ( Lelaki )
Johan

Tilawah Al-Quran ( Perempuan )
Naib Johan

Hafazan ( Lelaki )
Naib Johan

Hafazan ( Perempuan )
Naib Johan

Syarahan ( Lelaki )
Penyertaan

Syarahan ( Perempuan )
Johan

Khat ( Lelaki )
Johan

Khat ( Perempuan )
Johan

Berzanji Marhaban
Naib Johan

Nasyid
Naib Johan

Murobbi BADAR SHAMS mengucapkan tahniah dan syabas kepada para peserta MTAQ 2011 dan guru - guru pembimbing atas pencapaian yang diperolehi.Semoga pada tahun 2012, SMKA SHAMS akan berjaya merangkul Johan bagi setiap bahagian kerana pada tahun ini SMKA SHAMS mendapat persaingan yang sengit dari setiap sekolah yang bertanding khususnya daripada SMAD KLANA yang berjaya merangkul 3 Johan dalam pertandingan yang diadakan.

Tahniah buat semua calon SPM 2010 SMKA Sheikh Hj. Mohd Said

Wednesday, March 23, 2011


Hari ini merupakan hari yang ditunggu - tunggu oleh semua calon SPM 2010.Ini kerana pada hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM )2010 diumumkan.Tidak terkecuali calon SPM 2010 SMKA Sheikh Hj. Mohd Said ( SMKA SHAMS ), Seremban.

Berdasarkan keputusan yang diperolehi,SMKA SHAMS berjaya mengekalkan Gred Purata Sekolah ( GPS ) iaitu 2.51 sama seperti tahun 2009.Manakala 8 orang berjaya mendapat semua A dalam setiap subjek yang diambil. Antara mereka yang mendapat semua A dalam setiap subjek ialah :

  1. Afifah binti Mohd Shabri : 10 ( A +)  1 ( A )
  2. Fitrah Ilyana Abd. Halip : 8 ( A+ ) 3 ( A )
  3. Riza Insyira Baharin : 9 ( A+ ) 1 ( A ) 1 ( A- )
  4. Fatimah Zahra Zulqarnain : 8 ( A + ) 2 ( A ) 1 ( A- )
  5. Ismail Izzuddin Imran : 7 ( A+ ) 3 (A) 1 ( A- )
  6. Muhammad Ashraf Azar :7 ( A+ ) 4 ( A- ) ( Mantan Exco BADAR 2010 )
  7. Nurul 'Afifah Sidek: 6 ( A+ ) 3 ( A ) 2 ( A- )
  8. Nur Hidayah Rosli : 3 ( A+ ) 4 ( A ) 4 ( A- )
Murobbi BADAR mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon SPM 2010 SHAMS atas kejayaan yang diperolehi. Kepada mereka yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang, jangan berputus asa.Teruskan berusaha dalam meraih kejayaan dalam hidup.InsyaAllah,kejayaan tersebut pasti anda akan perolehi pada suatu masa nanti.

Nasihat daripada Murobbi BADAR agar jangan lupa daripada bersyukur kepada Allah atas nikmat kejayaan yang diperolehi. Dan paling penting, ilmu yang diperolehi diamalkan dalam hidup agar kehidupan sentiasa diberkati dan diredhai Illahi.Tahniah dan Syabas !

"Road Map" Kehidupan Manusia

Tuesday, March 22, 2011




Mungkin kita diluar sana sudah banyak kali melihat gambar diatas, dan barangkali kita telah pun melupakannya.

Jika kita lihat peta hidup kita, bermula dari alam roh hingga ke alam mahsyar, pelbagai alam bakal kita tempuhi. Namun, pernah kah kita terfikir, rahsia disebalik perjalanan diri kita?

Cuba kita tanya diri kita, rasailah hati kita sebenar-benarnya, apa yang abadi dalam hidup kita di muka bumi ini?

Adakah harta, pangkat,kemewahan menjadi tujuan kita sebenarnya di bumi ini?
Renungkan sejenak...

Sering kali kita lihat, kita selalu lari dari peta hidup kita sendiri. Setiap dari kita mempunyai jalan yang baik dan lurus kearahNya, tapi kita juga yang memilih untuk keluar dari jalan peta tersebut.

Jika kita menghadapi dugaan di perjalanan peta kita, kita meraung menyalahkan takdir yang menimpa atas diri kita. Kita lemah untuk mencari mana satu tempat yang perlu kita pegang selama ini.

Lalu tercalar sedikit keihklasan kita kepada Allah swt.

Hari demi hari berlalu, kita berjalan beribu-ribu meter di permukaan bumi, tapi adakah kita benar-benar berjalan atas muka bumi ini kerana Allah? Ataupun kita berjalan di atas muka bumi ini kerana kita mahu menjadi kaya, duit yang banyak, pangkat yang tinggi atau kehormatan disisi manusia? Fikirkan wahai teman..

Kadang kala kita ibarat manusia yang mengambil bintang di langit lalu dilekatkan di atas bahu kita. Menuhankan kemuliaan di sisi manusia lalu ditinggikan dada ketika berjalan.

Mungkin kita lupa, mana satu arah kita. Benarkah kita menuhan Allah swt di muka bumi ini atau kita sendiri yang menuhankan kejayaan duniawi?

Ramai orang menyangka, gelaran Doktor itu membawa kita kepuncak bahagia.
Ramai orang menyangka, mahasiswa universiti itu amat mulia.
Dan ramai orang menyangka, ketika kita shopping sehelai pakaian berharga RM1000 ringgit itu pasti akan membahagiakan tubuh yang memakainya.

Lalu ketika itulah, orang-orang ramai yang menyangka perkara itu menjadi silap di arah tujuan hidupnya hingga menjadi hamba abdi kepada syurga duniawi yang sudah kita tahu ianya hanya sementara.

Cuba kita lihat semula gambar diatas, kiralah dengan calculator anda, berapa lama lagi kita akan menempuh saat kita dipisahkan dari alam dunia ke alam barzakh? Kiralah untuk hidangan diri sendiri dan bukan kerana orang lain menyuruh kita. Bayangkan lah bagaimana kita akan menghadapi alam barzakh itu sendiri. Fikirkan...

Kemudian, kita ingat kembali, segala doa yang kita pohonkan kepada Allah swt.
Berapa kali kita sering meminta, "Ya Allah, berilah aku rezeki, pangkat dan harta, kejayaan untuk digegami".

Tapi berapa kali pula kita meminta supaya kekal dalam kecintaan kita kepada Allah swt. Berapa kali cuba kita ingati?

Kita terlalu taksub dengan kejayaan duniawi sehingga kita sendiri leka memohon agar diteguhkan kecintaan kita kepada Allah swt.

Tahukah anda semua, Allah swt tidak sekali-kali meninggalkan hamba-hambaNya yang mencintaiNya dikala susah mahuppun senang.

Tapi kecintaan duniawi pasti akan meninggakan kita diwaktu kita sukar dan mengambil kesempatan dikala kita kesenangan.

Adakah kita telah menyembelih kecintaan kita kepada duniawi?

Janganlah kita mendabik dada ketika berjalan kerana dunia ini bukan kita yang punya.

Kita hanya meminjam kepada Pemiliknya sahaja dan janganlah engkau merayu selain daripada Pencipta kita sahaja.

Ingatlah wahai teman, setiap kurniaan yang Allah berikan kepada kita pasti dipersoalkan di akhirat kelak.

Nilai - Nilai Kepimpinan Dalam Al-Fatihah

Friday, March 18, 2011




"Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang"

"Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Yang maha pengasih lagi maha penyayang. Yang menguasai, hari pembalasan. Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat." (Al-Fatihah : 1 - 7)

Nilai – Nilai Kepimpinan

1. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan sifat pengasih dan penyayang dahulu sebelum sifat kekuasaan. Begitulah para pemimpin dan daie, ia harus mengutamakan sifat pengasih dan penyayang sebelum menonjolkan aspek kekuasaan yang ada padanya.

2. Allah SWT bukan sekadar menuntut manusia agar beribadah (taat) kepadaNya tetapi juga terbuka untuk menerima aduan hamba-hambaNya. Bahkan dalam pelbagai hadith, Allah SWT berasa gembira jika hamba-hambaNya meminta kepadaNya. Demikianlah pemimpin dan daie, ia bukan hanya menuntut atau mengharap orang untuk mendengar nasihatnya atau laksanakan arahannya tetapi juga haruslah bersedia untuk mendengar rintihan dan masalah orang lain atau berkhidmat untuk mereka.

3. Sesiapa pun yang memainkan peranan sebagai pemimpin khususnya para daie, ia memikul tangungjawab untuk membimbing pengikutnya ke jalan yang lurus. Pemimpin dan daie bukan hanya mempunyai hak (ditaati, dihormati, kekuasaan) tetapi juga tanggungjawab (pengasih, berkhidmat kepada orang lain, membimbing ke jalan yang benar).

4. Allah SWT mengajar kita agar mengikuti jalan orang yang baik dan juga menjauhi jalan orang yang jahat. Demikianlah juga pemimpin dan daie bukan hanya menunjukkan jalan kebaikan tetapi juga menunjukkan apa dia kejahatan yang perlu ditinggalkan.

Selamat Beramal!

Pn. Nuri Ab. Hak

Monday, March 14, 2011


14 Mac- Warga kerja Murobbi BADAR ingin mengucapkan Tahniah kepada Pn. Nuri Ab. Hak atas lantikan sebagai Pengetua SMA Rantau,N.Sembilan.Secara tidak langsung beliau akan berpindah daripada SMKA Sheikh Hj. Mohd Said,Seremban ( SHAMS ) ke SMA Rantau.

BADAR SMKA SHAMS sudah pasti akan terasa kehilangan beliau yang merupakan Murobbi yang komited dalam melaksanakan tugas dan amanah disamping sifat keibuan yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada warga kerja BADAR dan para pelajar.

Ketika tiba saat perpisahan janganlah kalian berduka, sebab apa yang paling kalian kasihi darinya mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan - seperti gunung yang nampak lebih agung terlihat dari padang dan dataran.
Dikesempatan ini, pihak Murobbi BADAR ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pn. Nuri atas sumbangan tenaga,kewangan dan nasihat kepada BADAR sesi 2011. Semoga Pn. Nuri dapat melaksanakan tugas dengan baik ditempat yang baru. Kami pihak murobbi BADAR sentiasa mendoakan yang terbaik untuk puan dan kami berharap hubungan yang terjalin terus berkekalan. 

Pengurusan Masa Sepanjang Cuti Sekolah

Friday, March 11, 2011

Satu masalah utama yang disebut-sebut oleh pelajar ialah masalah pengurusan masa. Walaupun semua pelajar tahu bahawa kita semua sama-sama ada 24 jam sehari, mereka tetap hadapi kesukaran memahami mengapa ia terasa seperti cuma ada 12 jam sahaja sehari dalam hidup mereka. Jangan kata pelajar, orang dewasa juga hadapi masalah yang sama. Jika saya imbas zaman persekolahan saya sendiri, saya juga tidak terkecuali daripada masalah pengurusan masa.

Jadi sepanjang cuti sekolah ini, apa kata kita beberapa tips yang boleh digunakan untuk menguruskan masa. Secara khususnya, saya akan bincangkan 7 tips pengurusan masa. Sebaik-baiknya, kita gunakan kesemua tips ini serta-merta sepanjang cuti sekolah ini agar apabila sekolah bermula nanti, kita akan mula rasa selesa dengan gaya pengurusan masa yang betul.



Tip 1

Tip menguruskan masa yang pertama ialah ‘Buat satu senarai tugasan yang perlu dilakukan’. Di dalam Bahasa Inggeris, ini dinamakan ‘To Do List’. Untuk menyediakan senarai ini adalah satu kerja yang sangat mudah sebenarnya tetapi kesannya kepada cara kita melakukan sesuatu kerja adalah amat besar sekali.

Jika anda seorang pelajar, di masa cuti sekolah ini, pada waktu malam sebelum tidur, buat latihan ini selama 5 hingga 10 minit. Sediakan satu buku kecil. Buku kecil yang dicadangkan ialah buku kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Namun jika tidak ada, jangan risau. Jangan jadikan ia satu alasan. Ambil apa-apa sahaja buku atau kertas kosong yang boleh digunakan.

Dalam masa 5 hingga 10 minit, tuliskan semua perkara yang anda mahu lakukan pada esok hari. Fikirkan sejenak, selepas bangun tidur, apakah aktiviti-aktiviti yang perlu anda lakukan. Senaraikan semuanya. Senaraikan aktiviti-aktiviti penting dan juga aktiviti yang mungkin kurang penting. Mungkin pada waktu cuti sekolah anda ada lebih banyak aktiviti yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Tidak mengapa. Tuliskan sahaja.
Urus masa belajar

Latihan ini sebenarnya adalah untuk membiasakan diri kita berfikir dan melihat sedikit jauh ke depan sebelum kita melakukan sesuatu. Masalah utama pelajar yang menghadapi masalah pengurusan masa ialah mereka rasa terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Namun apabila mereka senaraikan di atas kertas perkara-perkara tersebut, ia tidak kelihatan begitu banyak lagi. Hasilnya, mereka rasa ia boleh disempurnakan dengan baik.

Langkah seterusnya.
Setelah anda tulis semua aktiviti yang perlu dilakukan esok, lihat semula senarai aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan nombor atau gred untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan aktiviti tersebut gred, 1,2 atau 3. Gred ini bermaksud,
Gred 1 - Sangat penting  Gred 2 - Penting   Gred 3  - Tidak penting

Penting atau tidak penting ini pula anda perlu berhati-hati. Anda perlu jelas apa matlamat anda sebagai seorang pelajar. Jika saya tanya bermain video games selama 3 jam adalah Gred 1, 2 atau 3, apakah jawapan anda? Jika anda jawab 3 (tidak penting), bermaksud matlamat anda ialah untuk menjadi pelajar cemerlang dan cita-cita anda satu hari nanti ialah mahu berjaya dalam bidang yang boleh dikaitkan dengan pendidikan.

Namun jika anda jawab 1 (Sangat penting), ini bermakna cita-cita anda bukanlah mahu menjadi pelajar cemerlang. Ada kemungkinan cita-cita anda mahu menjadi pemain video games professional.
Jadi, untuk perbincangan kita mengenai cara menguruskan masa ini, saya andaikan cita-cita anda ialah mahu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Berikan gred kepada senarai aktiviti anda sekarang. (Jika anda pelajar sekolah rendah, dapatkan bantuan ibu bapa, abang, kakak atau guru untuk menentukan gred aktiviti ini.)
To Do List
Apabila anda lihat gred ini semua, anda boleh nampak dengan jelas apakah fokus utama aktiviti anda untuk hari esok. Jika anda kesuntukan masa, anda perlu fokuskan kepada perkara yang mempunyai gred terendah iaitu 1 atau 2. Apabila anda penat selepas melakukan aktiviti gred 1, anda boleh berehat dengan melakukan akitiviti dalam senarai yang mempunyai gred lebih tinggi. Contohnya, selepas penat membuat kerja sekolah Matematik (Gred 1), anda boleh berehat dengan melakukan aktiviti menonton DVD Kungfu Panda (Gred 3). Hebat bukan? Siap Gred 1, berehat dengan Gred 3. Hasilnya banyak aktiviti dalam senarai boleh disempurnakan.

Setelah esok berakhir iaitu pada waktu malam sebelum tidur, lihat semula senarai ini. Cuba tandakan mana aktiviti yang telah disempurnakan. Percaya atau tidak, jika teknik ini diamalkan, anda akan rasa sangat seronok apabila anda membuat tanda pada aktiviti yang telah disempurnakan. Ia memberikan kita satu kepuasan yang sukar digambarkan.
To Do List
Bagaimana dengan aktiviti yang belum disempurnakan? Tuliskan semula aktiviti tersebut di dalam senarai baru untuk hari berikutnya. Kadangkala kalau ia gagal dilakukan hari ini, ia akan menjadi semakin penting pada keesokan harinya. Jadi pastikan kita menukar gred aktiviti tersebut jika perlu.
To Do List
Tanamkan azam untuk membuat aktiviti ini sepanjang cuti sekolah ini. Jangan risau kalau anda rasa sukar pada mulanya. Saya akan terangkan lagi tentang kepentingan langkah ini dalam posting saya seterusnya. Selamat menulis senarai aktiviti harian anda. :)





Tip 2
Mel urus masaSetelah kita pelajari bahawa langkah penting dalam menguruskan masa ialah menulis dan merancang aktiviti untuk hari esok, tip kedua pula ialah ‘Tetapkan masa akhir’ untuk menyempurnakan sesuatu. Di dalam bahasa Inggeris, ia dikatakan sebagai ’set a deadline’.

Menetapkan masa akhir bermaksud jika kita mahu lakukan sesuatu, anggarkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk menyiapkan kerja sekolah Matematik, anggarkan berapa lamakah masa yang kita ada untuk menyiapkannya dan tetapkan bilakah kerja sekolah tersebut sepatutnya siap.

Jika boleh, jangan tetapkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesuatu. Maksud saya, jangan tetapkan masa 2 jam untuk menyiapkan 10 soalan Matematik. Ini kerana jika kita tahu bahawa kita ada banyak masa, kita akan berlengah-lengah dalam membuat kerja. Akibatnya, kita tidak fokus sepenuhnya dan hasil kerja kita juga tidak sebagus mana.

Sebelum ini, saya tidak sedar tentang kepentingan menetapkan masa akhir. Akibatnya, saya perlu siapkan perkara yang ringkas dalam masa yang agak lama. Sebagai contoh, jika saya mahu menulis artikel dan tidak tetapkan masa akhir bila ia perlu disiapkan, saya akan bertangguh dan terlupa tentang apa yang mahu saya tulis. Namun jika saya tetapkan “artikel ini mesti siap sebelum pukul 12 tengahari Jumaat, 18 Disember 2009″, saya akan dapat lebih fokus dan dan teringat tentang artikel ini setiap masa. Hasilnya, saya akan paksa diri untuk duduk menulis dan tumpukan sepenuh perhatian agar ia dapat disiapkan dengan segera.

Jika anda sebagai pelajar dan ada banyak kerja yang perlu disiapkan dalam masa cuti sekolah ini, ada 3 langkah asas yang ingin saya cadangkan anda lakukan untuk mempraktikkan tip kedua ini.

  • Langkah pertama, senaraikan semua kerja atau tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa cuti sekolah ini. Ia mungkin kerja sekolah, sesuatu yang hendak kita baca atau sesuatu aktiviti yang sudah lama kita tangguhkan.
  • Langkah kedua, tuliskan tarikh dan masa akhir untuk setiap aktiviti tersebut.
  • Langkah ketiga, buat keputusan dan tanamkan tekad bahawa anda akan siapkan semua tugasan ini sebelum masa akhir yang telah ditetapkan.
Urus masa Osman Affan 

Saya percaya langkah ketiga adalah langkah yang paling sukar untuk dipraktikkan. Semua orang boleh tetapkan masa akhir tetapi tidak semua orang sanggup bekerja keras untuk menepatinya. Namun jika ia diamalkan pasti menjadi mudah juga nanti. Malah jika kita berusaha dan berjaya menepatinya, akan timbul rasa puas di dalam diri dan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan diri kita untuk menguruskan masa dengan baik.

Mulai hari ini juga, cuba praktikkan untuk menetapkan masa akhir bagi semua perkara yang kita lakukan. Jika kita mahu kemas bilik, kata dalam hati, ‘dalam masa setengah jam, bilik ini akan bersih, tidak ada sampah dan sempurna untuk belajar’. Setengah jam itu adalah masa yang telah kita tetapkan. Hasilnya, kita akan mengemas dengan lebih laju, fokus dan berkesan. Ini sangat jauh bezanya jika anda hanya ambil penyapu, sapu sampah di dalam bilik, kemas katil dan sebagainya tanpa mengetahui apa yang ingin dicapai.

Sama juga jika anda mahu menonton televisyen tetapi dalam masa sama anda perlu siapkan kerja sekolah. Katakan sekarang jam menunjukkan pukul lapan pagi dan anda mahu menyiapkan nota Sejarah. Pada pukul 8.30 pagi pula ada cerita kegemaran anda di televisyen dan anda rasa ia sangat penting dan tidak boleh dilepaskan. Jadi, tetapkan dalam diri anda tentang masa yang anda ada. “Aku ada setengah jam untuk buat nota sejarah. Dalam masa setengah jam ni, aku  akan siap baca 10 mukasurat bab 8, cari jawapan kepada 3 soalan mengenai bab 8 dan lukiskan peta minda untuk isi pentingnya.”

Saya percaya dengan langkah ini, proses pembelajaran akan jadi sangat berbeza. Ia akan jadi sangat berkesan. Selamat mencuba. :)




Tip 3
Tips latihan pengurusan masa sepanjang cuti sekolah kita yang ketiga ialah ‘Fokuskan minda kepada satu perkara sahaja pada satu masa’. Ini kerana salah satu sebab mengapa banyak kerja tidak dapat disiapkan, mengapa kita cuba bertangguh melakukan sesuatu kerja dan mengapa kita tidak dapat menguruskan masa dengan baik ialah kita selalu fikir tentang banyak perkara dalam satu masa.
Urus masaSebagai contoh, ketika menyiapkan kerja sekolah Sejarah, kita terbayang tentang kerja sekolah Matematik dan Sains. Bila kita sedang mengemas bilik, kita teringat tentang baju yang belum dibasuh atau halaman rumah yang perlu disapu. Apabila minda kita sudah terbahagi kepada beberapa fokus dalam satu masa, ada beberapa perkara akan berlaku.

  • Pertama, kita tidak dapat melakukan kerja yang sedang dilakukan dengan berkesan.
  • Kedua, kita mula hilang semangat dalam menyiapkan kerja yang sedang dilakukan.
  • Ketiga, kita mula rasa terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan lalu cuba menangguhkan semua kerja. Ini adalah disebabkan minda kita rasa ‘terlalu sesak’ dengan terlalu banyak benda. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat dilakukan.
Pelajar yang suka bertangguh dan melengah-lengahkan kerja mereka selalunya disebabkan perkara ini. Mereka hendak buat kerja sekolah Sejarah. baru hendak mula sudah teringat kerja sekolah lain. Minda mereka jadi terlalu sesak dan terus menangguhkan semua kerja sekaligus. Bagaimana cara mereka melegakan perasaan minda yang sesak ini? Mereka akan lakukan sesuatu yang boleh menenangkan dan menggembirakan minda mereka dengan segera sama ada dengan bermain games, menelefon kawan, berbual di internet, menghantar pesanan sms dan sebagainya. Semakin banyak aktiviti ini semua dilakukan, semakin berat hati mereka untuk kembali semula melakukan tugasan-tugasan tadi.
Mel SmartStudyJadi tip hari ini mengatakan, jika kita mahu uruskan masa dengan lebih baik, semasa melakukan sesuatu, fokuskan minda kepada satu perkara itu sahaja. Perkara lain itu lupakan seketika. Sebagai contoh semasa sedang menyiapkan kerja sekolah Sejarah tadi, penuhkan fikiran dengan persoalan mengenai Sejarah. Untuk lebih mudah fokus, jika sedang buat kerja di atas meja, kosongkan meja tersebut. Biar hanya ada buku Sejarah di atas meja. Ini untuk mengelakkan kita asyik terpandang buku lain dan mula teringat tentang kerja lain itu pula.

Satu masalah yang biasa disebut oleh pelajar ialah “saya dah cuba fokus pada satu perkara tetapi minda saya ni asyik teringat kepada perkara lain’. Langsung tidak boleh fokus kepada apa yang dilakukan sekarang. Apa nak buat?” Kalau teringat sahaja tidak mengapa sebenarnya tetapi ini ingat dan mula rasa bimbang dan hilang ‘mood’ untuk buat kerja. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia sama macam pepatah melayu yang mengatakan apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.

Ada 2 jawapan yang biasa saya berikan untuk soalan ini. Pertama, asyik teringat kepada perkara lain itu adalah perkara biasa. Apa  yang perlu dilakukan ialah apabila kita tersedar yang minda kita sudah mula teringat tentang perkara lain, bawa minda kita pulang semula kepada apa yang sedang dilakukan. Kata kepada diri kita, ‘Satu Perkara Pada Satu Masa!’ dan ingatkan diri kita bahawa kalau sibuk-sibuk risaukan perkara lain pun, bukannya kerja tersebut boleh siap. Lebih kita fokus dan siapkan kerja di hadapan mata sekarang. Semakin cepat kerja sekarang siap, semakin cepatlah kita boleh siapkan kerja yang lain itu.

Kedua, jika minda kita asyik teringat tentang kerja lain, ada kemungkinan kerja itu lebih penting dan perlu disiapkan dengan lebih segera. Kadangkala, apabila ada kerja yang susah hendak dilakukan, kita cuba mengelak daripada melakukannya. Contohnya, jika kita benci subjek Matematik Tambahan, kita akan sentiasa cuba mengelak daripada melakukannya. Semakin kita mengelak, semakin kita rasa bimbang kerana ia mesti disiapkan walau dengan apa cara sekalipun. Jadi, semasa kita cuba mengelak daripada melakukan kerja tersebut dengan melakukan kerja lain, fikiran kita akan sentiasa kembali fokus dan terkenang subjek Matematik Tambahan tersebut.

Jadi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah kita GAGAHKAN diri dan berdepan dengan subjek Matematik Tambahan tersebut. Kata pada diri kita sendiri, “lepas aku siapkan kau, senanglah semua kerja aku yang lain nanti.” Ingatkan diri kita, kalau benda yang paling susah sudah disiapkan, benda-benda lain pasti akan terasa begitu mudah untuk disempurnakan.

Jadi sepanjang cuti sekolah ini dan cuti sekolah yang akan datang, latih diri untuk fikir tentang satu perkara saya pada satu masa. Kalau tengah kemas rumah, fikir tentang kemas rumah dan bagaimana untuk menyiapkan tugas mengemas dengan sempurna dan berkesan. Jangan ingat dan bimbang tentang basuh kasut masa mengemas rumah.




Tip 4
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keempat ialah ‘tetapkan masa aktif’. Menurut Dr. Tara Kuther, ini beliau namakan ‘Go with the Flow’.

Saya definisikan masa aktif sebagai masa di mana anda rasa paling bertenaga, bersemangat dan cergas untuk melakukan sesuatu. Saya percaya semua orang ada masa aktif mereka sendiri. Namun setiap orang mempunyai masa aktif yang berbeza.

Ada orang yang aktif di waktu pagi. Ada yang aktif di waktu tengahari, petang atau malam. Jadi, pada waktu bilakah anda paling aktif dalam sehari?

Katakan anda rasa masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jadi,
  • Susun aktiviti atau tugasan yang paling sukar pada waktu pagi.
  • Susun jadual belajar subjek yang mencabar pada waktu pagi.
  • Susun aktiviti atau tugasan yang anda paling tidak suka pada waktu pagi.
Urus masa Osman AffanSebab mengapa ini dicadangkan ialah semasa kita aktif, kita lebih efektif dalam melakukan sesuatu. Semasa kita aktif, kita boleh berfikir dengan lebih baik dan bertenaga. Hasilnya kita akan dapat lakukan sesuatu dengan lebih berkesan dan cepat.

Bayangkan anda cuba siapkan kerja rumah yang paling susah dan yang anda paling benci pada waktu anda paling lemah, letih dan mengantuk. Boleh ia dilakukan? Sudah tentu sukar bukan?

Satu masalah yang biasa berlaku ialah kebanyakan orang suka melakukan aktiviti yang paling mereka suka pada masa aktif mereka. Pelajar contohnya suka belajar subjek yang paling mereka suka dan subjek yang mereka selalu skor A pada masa aktif. Hasilnya, prestasi subjek itu semakin baik manakala prestasi subjek yang mereka lemah kekal lemah malah semakin teruk lagi.
Urus masa Osman Affan

Pakar motivasi dan pembangunan diri, Brian Tracy juga ada memberikan pandangan yang hampir serupa mengenai perkara ini. Kata beliau, ‘Eat that frog’. Katak yang beliau maksudkan ialah kerja atau tugasan yang paling kita tidak suka dan selalu kita cuba tangguhkan. Jika kita berjaya lakukan tugasan yang paling kita tidak suka ini, tugasan lain akan jadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Jadi saya tambah sedikit, ‘makan katak itu’ di dalam masa aktif anda. :)

Sepanjang cuti sekolah ini, cuba kenal pasti masa aktif anda dan kuatkan semangat untuk melakukan semua tugasan mencabar dalam masa aktif ini. Setelah anda lakukan beberapa kali pasti anda akan dapat lihat betapa berkesannya teknik ini. Perlu diingat juga, ada kalanya sukar untuk kita kenal pasti waktu bilakah sebenarnya masa aktif kita. Jangan risau. teruskan mencuba untuk kenal pasti masa aktif kita ini. Ia kadangkal memakan masa sedikit lama untuk dikenalpasti. Namun jika terus mencari dan mengenal pasti, tentu kita akan jumpa.




Tip 5
Tip latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang kelima adalah mudah sahaja. Ia berbunyi, ‘belajar untuk berkata TIDAK!’

Kali pertama saya pelajari tentang teknik pengurusan masa ini, saya rasa amat pelik. Apa kena mengena pula berkata tidak dengan pengurusan masa. Namun setelah saya fikir-fikirkan, ternyata benar, banyak masalah berkenaan pengurusan masa adalah disebabkan kita tidak mampu untuk berkata TIDAK.
Urus Masa Osman Affan
Bayangkan pelajar yang sedang belajar, siapkan kerja sekolah dan mengulangkaji topik yang baru dipelajari. Baru 5 minit buat kerja tiba-tiba dia mendapat pesanan sms daripada kawannya yang berbunyi, “buat apa tu?”

Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar ini? Adakah dia akan balas pesanan sms itu dan kemudian berterusan hingga lebih satu jam atau dia akan kata “TIDAK! Aku nak buat kerja ni.’ Pada pendapat anda, yang mana satukah pilihan pelajar ini?

Saya sendiri percaya dan faham mengapa begitu susah untuk berkata tidak. Kadangkala saya sendiri semasa sedang sibuk menulis blog tiba-tiba dapat sms daripada sahabat, “Ngeteh?” Sudah jadi tabiat, saya akan balas “JOM!” Walaupun keluar minum teh dengan kawan tidak lama, aktiviti tersebut membuat beberapa perkara menjadi tidak lancar. Habis minum teh, idea dan semangat menulis blog mungkin sudah berkurangan.

Sebagai pelajar, anda perlu belajar berkata tidak kepada perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran rancangan anda. Jika anda kesuntukan masa untuk siapkan kerja sekolah dan menerima pesanan sms, tidak perlu jawab jika ia tidak penting atau jawab dan beritahu sahabat anda yang anda tidak dapat berbalas-balas sms dengannya.

Satu masalah dengan teknik ini ialah anda mungkin bimbang jika berkata tidak, nanti anda dipulaukan. Ini berlaku bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada orang dewasa di alam pekerjaan. Baru hendak siapkan kerja yang diminta oleh bos, kawan dah ajak minum pagi. Tidak ikut, bimbang dikatakan sombong. Tidak ikut, bimbang lain kali tidak diajak.

Bagi saya, tidak salah untuk bimbang. Namun sekali sekala kita perlu bimbang untuk diri kita juga. Selama ini kita asyik bimbang kawan-kawan atau orang disekeliling terasa hati kalau kita berkata TIDAK. Apa kata berfikir untuk diri kita pula seketika dan kita tahu, perkataan TIDAK itu akan menambahkan lagi produktiviti diri kita. Peluang dan jalan untuk kita menuju kejayaan juga akan terbuka lebih luas.

Tambahan lagi, berkata TIDAK bukan semestinya dalam nada yang tidak baik. Kita boleh berkata tidak dalam nada dan bahasa yang sopan. Sekurang-kurangnya sesiapa yang mendengar perkataan TIDAK daripada kita itu tidak berkecil hati dan mungkin boleh faham mengapa kita berkata demikian.
Jadi sebagai pelajar, belajar untuk berkata TIDAK apabila diajak melakukan aktiviti yang kurang atau tidak berfaedah dan aktiviti yang mengganggu kelancaran rancangan yang telah kita sediakan.

Selamat berlatih untuk berkata TIDAK dalam proses menguruskan masa anda. :)





Tip 6
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keenam ialah ‘jadi lebih fleksibel semasa menguruskan masa’ atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘Be flexible’.

Ini bermaksud, semasa kita merancang dan menguruskan masa, kita perlu bersedia untuk berubah atau sedikit terpesong daripada rancangan awal kita. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk belajar Matematik selama 40 minit dan belajar Sejarah selama 40 minit selepas itu, kita perlu bersedia untuk menukar rancangan jika ianya tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Urus Masa Osman Affan

Mungkin kita rancang untuk belajar Matematik selama 40 minit tetapi apabila 40 minit berakhir, kita masih lagi belum siap dan masih ada sedikit lagi yang perlu dilakukan. Jadi, berikan lagi sedikit masa untuk buat latihan Matematik tersebut. Ada masanya kita rancang masa untuk 40 minit tetapi terpaksa ambil masa selama 80 minit. Dalam contoh rancangan hendak buat latihan Matematik dan Sejarah tadi, apabila anda luangkan masa selama 80 minit untuk Matematik, ia bermaksud rancangan untuk belajar Sejarah terpaksa ditangguhkan.

Adakah ini bermaksud subjek Sejarah akan diabaikan? Tidak juga. Apa yang perlu dilakukan ialah anda masukkan lagi subjek Sejarah dalam jadual pembelajaran anda dalam masa yang terdekat ini. Ia tidak diabaikan tetapi ditukar masanya ke masa yang lebih sesuai.

Mengapakah kita perlu fleksibel? Menurut pengalaman saya menjalankan program teknik belajar di sekolah, majoriti pelajar yang saya temui TAHU bagaimana untuk membuat jadual belajar. Sejak sekolah rendah lagi pelajar sudah belajar bagaimana mahu membuat rancangan untuk belajar setiap hari. Mereka akan satu jadual di mana ada tertulis pada pukul berapa pergi ke sekolah, pukul berapa pergi mengaji, pukul berapa pergi tuisyen dan sebagainya.

Namun satu perkara yang kurang ialah pelajar tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika rancangan itu tidak dapat diikuti sepenuhnya. Jika mereka tulis belajar subjek Sains pada pukul 8 malam, apa akan terjadi jika malam itu ada banyak latihan Pendidikan Agama yang perlu disiapkan? Apa akan jadi jika keesokan harinya ada peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan persediaan belum dilakukan dengan baik?
Apabila pelajar tidak dapat mengikuti jadual mereka dengan baik, selalunya 2 perkara akan berlaku.
  1. Mereka rasa bersalah dan susah hati. Akibatnya mereka tidak dapat tumpukan perhatian kepada kerja yang hendak dilakukan segera kerana asyik teringat tentang jadual mereka yang tidak dapat disempurnakan.
  2. Mereka akan rasa lemah semangat dan hilang minat untuk membuat jadual. Rungut mereka, “kalau buat jadual pun, bukan boleh ikut semua. Buat sakit hati je nanti. Baik tak payah buat jadual!” Saya percaya inilah sebab utama mengapa pelajar tidak suka membuat jadual untuk menguruskan masa mereka. Saya temui sangat ramai pelajar di peringkat universiti yang mengalami masalah ini. Komen mereka “lebih baik tak payah buat jadual sebab kalau buat pun bukan kita boleh ikut semuanya.”
Kepada sesiapa yang berpendapat begini terutamanya pelajar, INGAT 2 perkara ini.
  1. Lebih baik ada jadual dan rancangan menguruskan masa berbanding tidak ada jadual dan rancangan.
  2. Jika kita tidak sempurnakan jadual atau rancangan menguruskan masa, ia JAUH LEBIH BAIK daripada orang-orang atau pelajar-pelajar yang tidak ada langsung jadual atau rancangan menguruskan masa.
Masalah ini berlaku disebabkan pelajar tidak faham konsep pengurusan masa dan tidak boleh jadi fleksibel. Rancangan kita untuk menguruskan masa sebenarnya ialah satu panduan. Sama seperti semasa kita hendak ke suatu tempat. Untuk ke sekolah contohnya, mungkin ada satu jalan terbaik dan paling cepat yang boleh kita ikuti. Namun jika satu hari jalan itu tidak boleh digunakan, pasti ada jalan lain lagi yang boleh digunakan. Kita tidak merungut atau merengek dengan berkata, “tak bolehlah pergi sekolah macam ni!” apabila jalan terbaik tadi ditutup.

Jadual Belajar SmartStudy

Selepas ini, jika kita sudah buat rancangan dan jadual tetapi tidak boleh sempurnakannya, gunakan 2 langkah di bawah. Katakan kita rancang 10 perkara untuk dilakukan tetapi hanya berjaya sempurnakan 7 sahaja manakala 3 lagi gagal dilaksanakan, kita perlu
  1. Bersyukur dan ucapkan tahniah kepada diri kita kerana telah berjaya sempurnakan 7 perkara yang kita rancang. Penuhkan diri dengan rasa gembira, seronok, bangga dan syukur kerana kita BERJAYA selesaikan 7 daripada 10 rancangan. Itu satu pencapaian yang hebat.
  2. Soal diri kita sendiri, “Macam mana supaya lepas ni, aku boleh sempurnakan semua sekali perkara yang telah kita rancangkan?” Soalan ini akan membuat minda kita lebih positif, bersemangat dan bersedia untuk mencari jalan untuk memajukan prestasi pengurusan masa kita pada masa yang akan datang.
Saya ucapkan selamat menguruskan masa dan selamat menjadi lebih FLEKSIBEL! :)




Tip 7
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang terakhir ialah ‘luangkan lebih masa untuk aktiviti yang paling mendatangkan hasil.’

Di dalam subjek ekonomi, ada satu terma yang dinamakan ‘The Pareto Principle’. Walaupun ia berasal daripada perbincangan mengenai ekonomi, rupa-rupanya ia boleh diaplikasikan kepada banyak bidang lain termasuk bidang pengurusan masa. Prinsip Pareto ini mengatakan bahawa
“20% daripada USAHA kita akan menghasilkan 80% daripada HASIL yang kita perolehi.”
Urus Masa Osman Affan
Jangan bimbang jika ayat ini sukar difahami. Ia bermaksud beberapa perkara.

  • Tidak semua aktiviti yang kita lakukan penting dalam mendapatkan hasil yang kita mahu.
  • Kalau kita lakukan 10 perkara untuk skor markah 100% contohnya, 2 daripada perkara tersebut boleh menghasilkan 80% daripada markah 100% itu.
Untuk lebih mudah faham, bayangkan anda lakukan 10 perkara ini untuk skor 100% markah dalam peperiksaan.
  1. Pergi tuisyen
  2. Buat kerja sekolah
  3. Buat latih tubi
  4. Pergi perpustakaan
  5. Beli buku
  6. Belajar di rumah kawan
  7. Belajar sendiri di rumah
  8. Jumpa dan tanya guru
  9. Jumpa dan tanya kawan
  10. Sediakan alat tulis yang sempurna
Dalam 10 perkara yang dilakukan ini, sebenarnya ada lebih kurang 2 perkara yang akan menyumbang kepada 80% daripada markah yang bakal kita perolehi. Aktiviti yang mana satu agaknya?

Ia terpulang kepada individu. Ada individu yang perlu lakukan aktiviti latih tubi dan belajar sendiri di rumah untuk dapat 80% markah dan ada individu yang perlu buat kerja sekolah dan jumpa guru untuk dapat 80%. Namun apa yang penting ialah anda perlu fikirkan aktiviti apakah yang benar-benar menyumbang kepada markah yang bakal anda perolehi. Jadi sekarang, cuba senaraikan semua aktiviti yang anda lakukan setiap hari untuk skor A dalam peperiksaan. Cuba kenal pasti aktiviti manakah yang tergolong dalam 20% aktiviti penting yang saya terangkan ini?

Setelah anda faham konsep bahawa ada lebih kurang 20% aktiviti yang benar-benar membantu kita mencapai matlamat skor A dalam peperiksaan, anda juga harus sedar bahawa kebanyakan pelajar menghabiskan masa mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak penting kepada mereka.
Urus Masa Osman Affan

Sebagai contoh, ada pelajar yang bersungguh-sungguh untuk pergi ke rumah kawan dan belajar bersama. Namun apabila dikaji semula, aktiviti itu sebenarnya hanya membuang masa dan tenaga kerana
  • Banyak masa terbuang semasa hendak pergi ke rumah kawan tersebut.
  • Banyak tenaga terbuang dalam perjalanan ke rumah kawan tersebut.
  • Banyak masa terbuang semasa hendak bersedia untuk mula belajar.
  • Banyak masa terbuang apabila kawan-kawan mula buka cerita tentang sesuatu yang tidak berkaitan.
  • Banyak masa terbuang apabila anda dan kawan-kawan tidak ada ‘mood’ untuk belajar.
Lebih menyedihkan, kadangkala perjalanan untuk ke rumah kawan tersebut memakan masa lebih lama daripada masa yang diambil untuk belajar. Akibatnya, anda rasa sudah banyak luangkan masa untuk belajar tetapi  hairan apabila tidak dapat skor dalam peperiksaan. Adakah ia menghairankan jika pelajar ini tidak dapat skor A? Tidak sebenarnya. Ia tidak menghairankan kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk sesuatu yang tidak menyumbang kepada markah yang bakal diperolehi.

Tips ini juga merupakan satu rahsia mengapa pelajar cemerlang selalunya kelihatan seperti belajar sedikit atau tidak belajar tetapi mampu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Ada ramai pelajar cemerlang yang sibuk dengan aktiviti kurikulum sekolah tetapi masih mampu skor A dalam peperiksaan dengan agak mudah. Ini adalah kerana mereka tahu untuk fokus kepada aktiviti yang menyumbang kepada matlamat yang mereka ingin capai. Mereka telah kenal pasti aktiviti mana yang penting untuk mereka dan luangkan lebih banyak masa untuk aktiviti tersebut.

Hari ini atau mungkin sepanjang minggu ini, cuba kenal pasti aktiviti yang penting untuk diri kita skor A dalam peperiksaan. Kemudian luangkan lebih banyak masa untuk lakukan aktiviti tersebut. Dapatkan bantuan dan nasihat ibu bapa dan guru untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti ini. Saya percaya anda akan dapat lihat perbezaannya dari segi pengurusan masa dan juga pencapaian anda dalam bidang akademik nanti.

Murobbi BADAR SMKA SHAMS mengucapkan Selamat Bercuti dan Menguruskan Masa Dengan Baik.

Sumber : http://www.osmanaffan.com/index.htm

PANDANGAN ISLAM TENTANG PERGAULAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Monday, March 7, 2011



Manusia tertakluk untuk memelihara dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).

Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan , seperti mana Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga. Kita saling memerlukan antara satu sama lain dan saling bergantungan untuk meneruskan survival kehidupan.

Dalam Islam, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan jual beli, kerja,belajar,perubatan,penyaksian di mahkamah dan sebagainya.

Kita digalakkan untuk saling mengenali antara satu-sama lain dan ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat : ayat 13 yang berbunyi ;

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN WANITA YANG BUKAN MUHRAM


Sekiranya pergaulan itu berasaskan kepada tujuan mendesak ataupun keperluan, maka ianya dibolehkan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, perlu menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana yang telah digariskan Islam.

Pandangan yang diberikan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Muasyirah, Jilid 2 menyebutkan :

"Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak.. Dan wajib patuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab".

TATACARA/ ETIKA PERGAULAN MENURUT ISLAM

Sekali lagi ditegaskan, meskipun Islam mengharuskan pergaulan, tetapi ia bukanlah satu kebebasan mutlak namun masih dalam ruang lingkup dan batasan tertentu.

Terdapat beberapa tatacara yang mesti dijaga dalam pergaulan, khususnya antara lelaki dan wanita.Antaranya:

a) Menundukkan pandangan


Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. (An-Nuur : ayat 30)

• Tidak melihat aurat / memandang dengan pandangan syahwat / bukan pandangan yang liar.

• Pandangan pertama dimaafkan, namun jangan pula disusuli dengan pandangan kedua dan ketiga kerana ianya haram.

b) Menjaga aurat dan kehormatan

Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur : ayat 31)

Batasan aurat bersama bukan mahram (ajnabi)

i. Lelaki – antara pusat ke lutut
ii. Wanita – seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan

• Berpakaian sopan menurut syarak, iaitu tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan dan tudung dilabuhkan melebihi paras dada. Tidak salah berfesyen asalkan menepati standard piawaian pakaian Islam.

• Hayati pemakaian kita di dalam solat. Sebagaimana kita berpakaian sempurna semasa mengadap Allah, mengapa tidak kita praktikkan dalam kehidupan di luar? Sekiranya mampu, bermakna solat yang didirikan berkesan dan berupaya mencegah kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

• Elakkan daripada memakai pakaian yang tidak menggambarkan identiti kita sebagai seorang Islam. Hadith Nabi SAW menyebutkan : “Barangsiapa yang memakai pakaian menjolok mata, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat kelak..” ( Riwayat Ahmad, Abu Dawud, An-Nasai dan Ibnu Majah)

c) Tidak berdua-duaan antara lelaki dan wanita

• Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan wanita melainkan akan hadir di antara keduanya yang ketiga iaitu iblis.

• Pertemuan perlulah di tempat awam bukan di kawasan yang tersorok daripada pandangan ramai. Ini penting bagi mengelakkan fitnah dan menghindarkan daripada terpedaya dengan hasutan syaitan supaya melakukan perkara-perkara maksiat.

• Hadith Nabi menyarankan : “ Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (berkhalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

• Mahram yang dibawa perlulah individu yang sudah berakal, baligh dan berupaya mencegah kita daripada melakukan kemungkaran.

d) Tidak melunakkan ucapan dan mengucapkan kata-kata yang baik

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan Yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata Dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana Yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang Yang ada penyakit Dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah Dengan kata-kata Yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzaab : 32)

• Elak perkataan merayu,menggoda ,merangsang keinginan,keji,lucah mahupun perkatan sia-sia/gurauan berlebihan

• Lunakkan suara berbeza dengan merendahkan suara. Lunak diharamkan, manakala merendahkan suara adalah dituntut. Merendahkan suara bermakna kita berkata-kata dengan suara yang lembut, tidak keras, tidak meninggi diri, sopan dan sesuai didengar oleh orang lain. Ini amat bertepatan dan sesuai dengan nasihat Luqman AL-Hakim kepada anaknya yang berbunyi : “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai” (Surah Luqman : ayat 19)

• Penggunaan perkataan yang baik ini perlu dipraktikkan sama ada melalui perbualan secara langsung mahupun platform lain , contohnya melalui SMS, Yahoo Messengger ataupun apa yang ditulis di dalam Facebook kerana ianya menggambarkan keperibadian penuturnya.

• Berkait rapat dengan ungkapan yang baik ini, di dalam Al-Quran ada memberikan beberapa bentuk ungkapan yang wajar kita praktikkan dalam komunikasi seharian iaitu:

1. Qaulan Sadida (An-Nisa’ :9) :Isi pesanan jujur dan benar, tidak ditambah atau dibuat-buat
2. Qaulan Ma’rufa (An-Nisa : 5) :Menyeru kepada kebaikan dan kebenaran
3. Qaulan Baligha (An-Nisa’ : 63) : Kata-kata yang membekas pada jiwa
4. Qaulan Maisura (Al-Isra’ : 28) : Ucapan yang layak dan baik untuk dibicarakan
5. Qaulan Karima (Al-Isra’: 23) : Perkataan-perkataan yang mulia

e) Tidak bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhram

• Hadith Nabi SAW : “Sesungguhnya kepala yang ditusuk besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.” (Riwayat At-Tabrani dan Baihaqi)

• Selain itu, dari Aishah :"Demi Allah, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membait."(Riwayat Bukhari)

• Elakkan bersentuhan, berpegangan, bergesel, bertepuk-tampar dan sebagainya.

f) Tidak mengenakan wangi-wangian atau perhiasan-perhiasan yang boleh menarik perhatian

• Hadith Nabi menyebutkan : “Siapa sahaja wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina..” (Nasa’i, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

g) Mengawal pergerakan badan

“..dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka..” (An-Nuur :31)

• Elakkan dari melakukan gerakan manja atau gerakan yang boleh menarik perhatian orang lain. Bersederhana dalam pergaulan dan jaga adab dan tertib sebagai seorang Islam.

h) Pertemuan hendaklah pada perkara benar-benar perlu, tidak melampau atau kerap

• Perlu ada batasan dan limitasi, tidak terlalu bebas.

KESIMPULAN

a) Bergaullah dengan cara yang baik dan mengikut batasan syarak kerana apa yang dianjurkan Islam adalah untuk maslahah atau kebaikan kita juga.

b) Ikhtilat yang diharamkan seperti bercouple, berdating,bersentuhan dan sebagainya wajar dihindari.

c) Sekiranya kita menjaga hak Allah, nescaya Allah akan menjaga dan memelihara diri kita.

d) Pilih kawan yang baik (Manusia itu mengikut agama kawannya)