Abstrak BADAR Perdana SHAMS

Saturday, May 28, 2011

KEWUJUDAN BADAN AGAMA, DAKWAH, AKHLAK DAN ROHANI ( BADAR ) DALAM MEMBENTUK SAHSIAH UNGGUL MURID

Mohd Khairul Hidayat bin Berahim
SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban ( SHAMS )

Abstrak

Bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani maka Badan Agama, Dakwah, Akhlak dan Rohani atau singkatannya BADAR diwujudkan. Tujuannya adalah untuk melahirkan murid yang berilmu, beriman dan bertaqwa. Seterusnya murid ini diharapkan menjadi pemimpin yang berketerampilan, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang mapan pada masa akan datang. SMKA Sheikh Hj. Mohd Said Seremban ( SHAMS ) merupakan antara sekolah yang terawal menubuhkan BADAR iaitu pada 12 Febuari 1992. Tujuan asal penubuhannya adalah untuk melahirkan generasi yang menyeru kearah yang makruf dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Bagi memastikan hasrat tersebut dicapai, pihak sekolah telah menjadikan BADAR sebagai persatuan wajib bagi semua murid. Usrah dijadikan aktiviti utama BADAR disamping pelbagai aktiviti harian, mingguan, bulanan, berkala dan tahunan yang dirancang bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Ditambah dengan dengan beberapa modul yang dihasilkan seperti modul jati diri, insan mutadayyin, kepimpinan, budaya ilmu, budi bahasa, pengurusan masa dan imej mahmudah memperkukuhkan lagi usaha – usaha murni untuk menerapkan nilai – nilai Islam dikalangan murid. Hari ini BADAR telah dijadikan salah satu bidang kebitaraan kluster sekolah. Lebih istimewa lagi BADAR SMKA SHAMS telah menjadi rujukan penting dalam pembangunan sahsiah murid. Pada tahun 2006, pihak JAPIM telah bersetuju untuk menjadikan buku sukatan Usrah BADAR SMKA SHAMS sebagai buku panduan usrah diperingkat kebangsaan bagi seluruh SMKA di negara ini. Sementara itu segala aktiviti BADAR, modul serta program yang dilaksanakan juga telah menjadi penanda arasan bagi sekolah-sekolah lain.

Ustazah Zuriyanai binti Ismail

Thursday, May 26, 2011

Saff murobbi BADAR dan Kepimpinan BADAR SHAMS menyeru seluruh warga SHAMS dan alumni agar mendoakan kesihatan dan keselamatan Ustazah Zuriyanai binti Ismail yang akan menjalani pembedahan untuk melahirkan anak pd 30 Mei 2011.

Beliau adalah guru Pend. syariah Islamiah, warden dan salah seorang penggerak BADAR SHAMS mula memasuki Hospital Seremban sejak awal bulan april lalu. Mudah - mudahan Allah memudahkan urusan pembedahan dan mengurniakan kesihatan kepada beliau serta cahayamata yang bakal dilahirkan.Amin.....

Guru Oh Guru...

Sunday, May 15, 2011


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru )
)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Ketua Bidang Pengajian Islam

Monday, May 9, 2011


9 Mei - Murobbi BADAR SHAMS mengucapkan tahniah kepada Ustazah Surahaya binti Ismail atas lantikan sebagai Ketua Bidang Pengajian Islam SMKA Sheikh Hj. Mohd said ( SHAMS ) yang baru. Pelantikan beliau diumumkan secara rasmi oleh Pn Hjh Lailawati binti Ahmad,Pengetua cemerlang SMKA SHAMS dalam perhimpunan pagi ini.

Ustazah Surahaya sebelum ini merupakan Ketua Panatia Pengajian Islam serta murobbi BADAR.Beliau menggantikan tempat Ustazah Nuri binti Ab. Hak yang dinaikkan jawatan sebagai Pengetua SMRA Rantau.Pelantikan beliau dilihat tepat dan sesuai dengan kewibawaan kepimpinan yang ditunjukkan sebelum ini.

Kami diperingkat Murobbi BADAR SHAMS yang kebanyakkan guru - guru pengajian Islam dan bahasa Arab menggalu-alukan pelantikan beliau.Semoga pelantikan Ustazah Surahaya dapat memantapkan serta memperkasakan lagi bidang kebitaraan pengajian Islam.

Selamat Datang Pelajar - Pelajar Tingkatan 6 Bawah ke SHAMS


 Murobbi BADAR SHAMS menggalu-alukan kehadiran pelajar - pelajar 6 bawah yang mula mendaftarkan diri hari ini di SMKA Sheikh Haji Mohd Said,Seremban ( SHAMS ). Selamat Menjadi Warga SHAMS!