Risalah Khas Mahabbatul Rasul : Cinta Kita VS Cinta Rasulullah S.A.W

Thursday, February 10, 2011

Di hari kebesaran yang bersejarah ini, marilah kita bermuhasabah kembali, bertanyakan diri sendiri, setahap manakah perasaaan kasih dan cinta kita terhadap Nabi Muhammad SAW yang kita imani selama ini. Melahirkan rasa cinta kita terhadap Nabi SAW bukan sahaja diluahkan melalui kata-kata di bibir sahaja tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Ia mestilah juga dizahirkan dengan perbuatan dan amalan berdasarkan keimanan dan cinta yang mendalam terhadap Rasulullah SAW dalam hati kita. 

Ingatlah, beriman kepada Nabi juga mesti sampai ke peringkat mencintai baginda, ikut melakukan apa yang Nabi buat, bukan pilih-pilih tetapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan Nabi adalah wahyu daripada Allah. Kita kata kita cintai Nabi tapi setahap mana kita mengamalkan sunnahnya? Setahap mana kita menjadikan al-hadith sebagai panduan dalam hidup? Setahap mana ikutan kita kepada ajaran baginda? Tepuk dada, tanya iman. Buka hati, buka mata, buka telinga.

Kita seringkali mendengar kisah kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya namun bagaimana pula kasih sayang kita kepada baginda? Kita balik ke pangkal jalan, tanya diri sendiri. Kalau kita mencintai seseorang, bagaimana kita menunjukkan rasa cinta kita kepada si dia? Bagaimana perasaannya apabila kita mecintai dan dicintai seseorang? Tanyalah kepada mana-mana individu yang pernah atau sedang bercinta, bila bercinta, walaupun berjauhan rasanya dekat, walaupun berat rasanya ringan, sanggup berkorban tenaga, masa dan wang malahan nyawa demi cinta kita kepada si dia.

Oleh sebab itu, dalam hal cinta kita kepada Nabi, kita mesti mengalami keadaan yang sama seperti di atas. Namun, sebelum cinta kepada manusia, Nabi mestilah dicintai dengan sebenar-benarnya terlebih dahulu. Mengapa kita perlu mencintai baginda?

Kerana Nabi terlalu cinta kepada kita. Antara buktinya, sebelum Nabi wafat, antara perkataan akhir yang dilafazkan Nabi ialah “Ummati, ummati, ummati" (umatku, umatku, umatku). Umat Nabi itu ialah kita. 

Lagi bukti di Padang Mahsyar. Selepas manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar, selepas gagal diberi pertolongan dipercepatkan perbicaraan oleh Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW lalu memohon pertolongan daripada baginda dengan berkata, "Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh Allah, penutup para Nabi dan Rasul, berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab." 

Jawab Nabi Muhammad SAW, "Aku akan tolong kamu semua." Rasulullah SAW pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada Allah SWT selama seminggu. Allah SWT pun berfirman, "Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta. Aku akan kabulkan permintaanmu."

Rasulullah SAW menjawab, "Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-Mu yang telah sekian lama bertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."

Nabi SAW juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman kepadaku.” Kemudian Nabi menyebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tetapi beriman denganku.” 

Orang yang tidak melihat Nabi tetapi beriman kepada Nabi antaranya diri kita yang Nabi puji tiga kali itu. 

Kadangkala dalam hidup kita ini, orang tidak cintakan kita pun kita tergila-gila padanya, apatah lagi pada Nabi yang amat mencintai umatnya, cintailah Nabi sepenuh hati.

“ We Love Rasulullah S.A.W”

1 comments:

Post a Comment