Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan digulingkan secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.
Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Pergilah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”. Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.
Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan dan meninggalkan Mesir yang sudah kehilangan berbilion-bilion wang. “Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”. Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.”
Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. “
Sheikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.
Rakyat dan Tentera
Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.
Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram.”
Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.
Sumber: al-Jazeera.
Mengenali Hosni Mubarak
Hosni dilahirkan pada 4 Mei 1928 di Kafr-El-Meselha selepas tamat sekolah tinggi dan menyertai Akademi Militer Mesir, di mana beliau menerima Darjah Sarjana Muda dalam Sains Ketenteraan pada 1949.
Pada tahun berikutnya, Hosni menyertai Akademi Tentera Udara Mesir dan akhirnya mendapat Sarjana Muda Sains Penerbangan dan di tugaskan dalam skuadron pengebom.
Selepas itu, Hosni diterima masuk ke sekolah latihan juruterbang Kean, Moscow dan sebaik menyempurnakan latihannya itu, Hosni menjadi pegawai Tentera Udara Mesir dan diberi mandat berkhidmat sebagai juruterbang dan naik pangkat menjadi panglima markas. Kerjaya tentera udara beliau sampai kemuncaknya pada 1972 apabila menjadi Komander Tentera Udara.
Beliau kemudian mengahwini wanita kacukan berdarah Barat, Suzanne dan mempunyai dua orang anak lelaki, Alaa dan Gamal Hosni Mubarak. Media melaporkan Alaa dan Gamal dipercayai sejak sekian lama dipersiapkan sebagai pengganti Hosni kelak.
Hosni mempunyai personaliti tersendiri apabila sering diibaratkan sebagai pemimpin Arab yang berkawan rapat dengan kuasa besar Barat, Washington selama berdekad-dekad tahun.
Ekoran keakraban itu, beliau juga pernah beberapa kali menjadi sasaran pembunuhan kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.
Namun, selepas 30 tahun memegang tampuk kuasa Mesir, 25 Januari lalu menjadi tarikh keramat rakyat Mesir bangun menentang Hosni.
Bermula dengan puluhan ribu, demonstrasi di seluruh negara dengan pusat utamanya terletak di Dataran Tahriri bertukar ngeri apabila limpahan penunjuk perasaan melonjakkan sehingga angka lebih 300,000. Ia dikatakan bakal bertambah satu juta orang sebagaimana yang diumumkan sejak awal. Yang pasti, demonstrasi itu kini bertukar rusuhan berdarah apabila pertembungan berlaku antara penyokong Hosni dan anti-Hosni.
Pada hari kelapan dilaporkan seramai 300 nyawa terkorban manakala 3,000 lain tercedera.
“Perubahan kuasa akan dilakukan secara aman.” Demikian kenyataan Hosni merujuk kepada hari-hari awal demonstrasi yang sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.
Berita-berita melaporkan ketegangan yang berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah telah berkembang ke beberapa tempat di luar Kaherah dan ia semakin membahayakan orang awam termasuk lebih 14,000 warga Malaysia yang berada di sana.
Walaupun sebelum ini Hosni yang pernah dirujuk sebagai firaun moden Mesir, berjaya menyelamatkan diri daripada enam percubaan bunuh, namun, kebangkitan rakyat mungkin akan menjatuhkannya.
Kebangkitan rakyat bukan sekadar melampaui sejarah silam terhadap ketidakpuasan yang ditunjukkan terhadap Hosni selama ini malah, menyebabkan dua sekutu kuatnya juga membuat langkah menjauhkan diri daripadanya.
Pada 31 Januari, tenteranya mengumumkan tidak akan mencederakan peserta demonstrasi aman dan pada 1 Februari, Presiden Amerika, Barrack Obama menghantar maklumat melalui dutanya meminta Hosni supaya tidak menunggu pilihan raya.
Bagaimanapun Hosni tetap nekad dengan keputusannya untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga September ini.
“Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan).
“Ini tanah air saya… saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.
“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” ungkap Hosni.
Rapat dengan Israel
Hosni, presiden paling lama di Mesir sejak sistem beraja digulingkan pada tahun 1950-an.
Dia juga satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan kedamaian dengan Israel dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dilihat pernah bertindak menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan parti pembangkang ( ikhawanul Muslim ) serta mengatur pilihan raya.
Di sebalik ketidakhirauan orang awam, kemarahan terhadap pemimpin ini terus berkembang selari dengan keadaan ekonomi yang semakin lumpuh.
Penunjuk perasaan menggunakan kemudahan Internet secara optimum untuk menjalan dan merancang demonstrasi. Mereka juga mendapat motivasi daripada pergerakan yang dilakukan di Tunisia, yang dilakukan sebulan sebelum berjaya mengguling tampuk pemerintahan 23 tahun pemerintah autokratik, Zine El-Abidine Ben Ali.
0 comments:
Post a Comment