Tips Hijrah Diri-Salam Maal Hijrah 1435H

Monday, November 4, 2013


Sebagai panduan bagi remaja, bagaimana caranya untuk melakukan hijrah diri?
Tips pertama:
NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharap keredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.
Tips kedua:
TETAPKAN MATLAMAT. Matlamat yang ulung pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Namun yang harus ditelusuri ialah persoalan sejauh mana relevannya matlamat yang ditetapkan. Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Contohnya anda ingin berubah daripada seorang yang jahil tentang ilmu agama menjadi sarjana Islam yang hebat dalam masa beberapa minggu. Tentu mustahil bukan? Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda kini konsisten mengikuti kuliah agama di surau dan masjid setiap malam. Itu mungkin hijrah diri terhadap ilmu. Anda meletakkan sasaran bahawa dalam masa 1-2 tahun ini anda dapat memahami konsep asas Islam. Atau dalam masa 2 tahun akan datang anda dapat menguasai hukum tajwid dan dapat membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik.
Tips ketiga:
BUANG PERSEPSI YANG SALAH. Selama ini anda mungkin mempunyai persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Anda mengkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang. Mengapa tidak anda?
Tips keempat:
HENTIKAN PERKATAAN NEGATIF. Perhatikan perkataan yang negatif yang sentiasa keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif yang keluar daripada orang-orang hebat. Latihlah diri untuk menuturkan kata-kata hebat tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru. Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan. Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.
Tips kelima:
BANYAKKAN MEMBACA DAN MENDENGAR KISAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA. Bagi remaja yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di pasaran tentang bagaimana akhirnya wanita- wanita mendapat hidayah untuh tampil bertudung menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah. Itulah kuasa hijrah. Dekatilah tokoh-tokoh serta ahli agama yang sentiasa akan memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah kesedaran insan terpilih tersebut. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah diri ke arah kebaikan.
Tips keenam:
PEDULIKAN APA KATA ORANG. Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti ada yang memuji malah ada yang mengeji. Apa yang penting itulah rencah dan dugaan hidup yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.
Tips ketujuh:
BERDOALAH. Allah sesungguhnya telah berfirman:
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."
(Al-Mu’min 40: 60)
Berdoalah untuk pilihan yang unggul buat kita mengharap pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Jangan kita lupa bahawa Allah menentukan segala niat dan keinginan diri dimakbulkan. Jadi, berdoalah diiringi keinsafan terhadap dosa-dosa lalu, mohon diampuni-Nya. Berdoalah agar segala usaha membaiki diri itu dibukakan jalan yang luas tanpa halangan berliku.
Maka jelaslah sudah, jalan-jalan untuk mengubah diri ke arah kebaikan terbuka luas. Memang hijrah diri itu menuntut pengorbanan dan kekentalan semangat yang luar biasa hebatnya. Panduan sudah diberi, pilihan di tangan anda. Jadilah remaja yang kental dengan pilihan yang sudah dibuat. Jadikanlah tahun ini tahun hijrah diri yang mencerna seribu satu kebaikan untuk diri, keluarga dan agama.


0 comments:

Post a Comment