Kepimpinan BADAR sesi 2012/2013 bakal melabuhkan
tirainya dan sudah pasti kepimpinan baru bakal dilantik bagi meneruskan legasi
kepimpinan dalam usaha menyuburkan gerak kerja dakwah dan tarbiyah di bumi
SHAMS. Justeru,murobbi BADAR SHAMS ingin menyentuh tentang konsep kepimpinan
yang merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah tanzim dakwah seperti
BADAR.
Kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al
Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif )
tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini
perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin.
Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang
ketara antara tasyrif dan juga taklif:
1. Orang yang menganggap kepimpinan adalah
kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa
berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya
dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi
tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan
keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya
pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
2. Manakala orang yang faham bahawa ia adalah
taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan.
Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggungjawab
dan akan cuba melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan
perasaan takut dan merasai muraqabah Allah SWT. Sewajarnya kita melihat
kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang
merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.
Sesungguhnya Islam memuliakan seseorang pemimpin
dan mengajarkan konsep taat selagi mana tidak menyalahi syariat, namun pemimpin
perlu sedar kemuliaan yang diberikan ini hendaklah disalurkan kepada jalan yang
hak, tanpa penyalahgunaan dan pengabaian terhadap amanah.
Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang
digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana
itulah Rasulullah SAW awal-awal lagi memperingatkan umatnya dengan amanah
kepimpinan ini. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghiffari berkata kepada
Rasulullah:
"Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya
menjadi gabenor (pemimpin wilayah)?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu
Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber
kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima
mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."(
Riwayat Muslim )
Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan
berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan
tuntutan yang tidak mampu ditunaikan. Islam mangajar kita melaksanakan sesuatu
mengikut kemampuan dan kapasiti yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya akan tetapi akan ditanya kelak ialah MENGAPA TIDAK
BEKERJA MENUNAIKAN AMANAH.
Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas
tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada
pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai
hadaf (matlamat) tidak akan terjadi kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah
Ta’ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakal dan pohonlah bantuan daripada
Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment