Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?".
Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah
telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka,
maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak
dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang
ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)
A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan
supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa
Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh
berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak
berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang
Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga
berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda
berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan
kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda
bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang
tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari
& Muslim)
Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa
pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada
hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan
puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka
kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah
satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang
disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim
(wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan
al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).
Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang
mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang
diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya
tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan
dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW
begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari
‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau
pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku
tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari
kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda
tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain
kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)
Puasa
Tasu’a (hari ke-9 Muharram)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk
berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan
beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah
SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya
turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini
adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW
bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan
berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun
hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda
(maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku
pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini
telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam
Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa
disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa
pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun
berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat
bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10
ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada
hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar
al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).
Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang
mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah
saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh
Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat
pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan
ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).
0 comments:
Post a Comment