عَن عَبدِ اللهِ بنِ عُمَرَ رَضِيَ الله عَنهُما قال :
قال رسولُ اللِه صلى الله عليه وسلم : " المُسلِمُ أَخُو المُسلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ
فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ
كُرْبَةً فَرَّجَ الله ُعَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ,
وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَومَ القِيَامَةِ"
( رواه البخارى ومسلم وأبو داود )
Maksudnya :
Daripada
Abdullah Ibnu Umar r.a. Katanya :”Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang Islam
bersaudara kepada orang Islam, ia tidak menzaliminya dan tidak mendedahkannya
kepada kebinasaan. Siapa yang menolong hajat saudaranya, Allah akan menolong hajatnya,
dan siapa yang melepaskan kedukaan seseorang Islam, Allah akan melepaskannya
daripada kedukaan pada hari Kiamat. Siapa yang menutup keaiban seseorang Islam,
Allah akan menutup keaibannya pada hari Qiamat.”
Huraian :
1) Muslim yang sebenar ialah mukmin yang sanggup
menganggap seorang Islam yang lain itu sebagai kandungnya, Maksudnya bentuk
perhubungan persaudaraan itu sangat kuat, tiada pengkhianatan dan kezaliman
hasil daripada iman yang telah menguasai gerak geri dan tingkahlaku seseorang
itu untuk mendapatkan keredhaan Allah.
2) Menolong hajat saudara bermaksud berusaha dan
bekerjasama untuk kepentingan saudaranya. Mereka yang berusaha menolong orang
lain akan mendapat balasan baik daripada Allah s.w.t.
3) Melepaskan kesusahan dan kedukaan saudaranya
bermaksud, berusaha dengan sedaya upayanya untuk memberikan kesenangan dan
kegembiraan antara sesama Islam.
4) Keaiban, keburukan dan kejahatan sama ada kecil
atau besar yang dilakukan oleh saudara kita, hendaklah disembunyikan dan tidak
dihebahkan.
Dalam hal ini ada beberapa pendapat :
1) Sekiranya dengan pendedahan sesuatu kemungkaran
yang dilakukan oleh seseorang itu akan memberi pengajaran kepada orang lain,
maka kemungkaran itu boleh didedahkan.
2) Sekiranya pendedahan itu tidak mendatangkan
sebarang faedah dan kepentingan kepada orang ramai, bahkan memburukkan nama
orang yang terlibat, maka kejahatan dan keburukan itu tidak boleh disebarkan.
3) Tidak boleh menghebahkan kecacatan atau keaiban
yang ada pada tubuh badan seseorang kerana dianggap menyakiti perasaan
saudaranya.
Kesimpulan dan Pengajaran :
1) Orang Islam adalah bersaudara. Justeru, kita
tidak boleh melakukan kezaliman dan pengkhianatan sesama sendiri.
2) Menunaikan hajat sahabat kita merupakan salah
satu cara untuk mendapatkan keredhaan Allah.
3) Berusaha bagi menghapuskan kedukaan sahabat kita
adalah digalakkan oleh Islam seperti menziarahi mereka ketika sakit atau
membantu ketika kesulitan. Allah akan membalas usaha-usaha ini dengan memberi
ganjaran baik di akhirat.
4) Menyembunyikan keaiban sahabat kita adalah
dituntut. Memberitahu kejahatan dan mencegahnya adalah wajib. Mendedahkan
kejahatan untuk menjadi panduan dan teladan adalah diharuskan.
5) Orang Islam diarahkan supaya sedia bekerjasama
dalam perkara-perkara dan amalan-amalan yang diredhai Allah.
0 comments:
Post a Comment