Nabi Musa a.s. pernah membantu dua orang anak nabi Syuaib mengambil air di telaga. Maka salah seorang anak nabi Syuaib mencadangkan agar ayahnya mengambil nabi Musa bekerja bersama mereka kerana dia melihat Musa sebagai seorang yang kuat lagi amanah. “Wahai ayahku! Ambillah dia menjadi orang upahan kita, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah!”- Surah al-Qasas ayat 26. Bila ditanya, bagaimana kamu mengetahui dia seorang yang kuat lagi amanah? Anaknya menjawab, dia mampu mengangkat penutup perigi dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan biasanya lebih tujuh orang diperlukan untuk mengangkat! Dia juga memelihara pandangan dan bila jalan bersama dia menyuruh kami berjalan di belakangnya.
Antara dua pilihan
Jika anda diberi pilihan
antara seorang yang alim atau warak dengan seorang lagi yang tidak alim tapi
pandai merancang dan mengurus, siapakah yang akan anda pilih untuk menjadi
ketua? Ada seorang yang bijak berbicara tentang ikhlas, amanah dan tanggung
jawab dunia dan akhirat. Bukan setakat itu sahaja, dia memang benar-benar
ikhlas lagi amanah. Ada seorang lagi yang pandai menghuraikan teori-teori
perancangan dan pengurusan seperti PODC, PDCA, SWOT, SMART dll. dan berjaya
membuktikannya. Soalan yang serupa; siapakah yang akan anda pilih untuk
menerajui organisasi yang anda anggotai atau melaksanakan sesuatu tugas?
Jawapannya… bergantung
kepada nisbah kekuatan dan amanah yang diperlukan untuk menanggung tugasan
tersebut.
Dua kategori
Antara perkara yang
boleh dikategorikan sebagai kekuatan ialah tubuh badan yang sihat lagi
bertenaga, ilmu dan kemahiran berkaitan tugas, rajin bersemangat lagi berani
menjayakan tugas, mudah berinteraksi dan mempengaruhi orang lain dsb. Manakala
amanah pula ditunjukkan oleh sifat-sifat jujur, ikhlas, boleh dipercayai, benar
dalam kata-kata dan tindakan, penyabar, sopan santun dsb.
Adalah suatu yang
ideal jika kita menemui seseorang yang terhimpun padanya ciri-ciri kuat dan
amanah ini. Kerana ia selari dengan saranan ayat yang menjadi rujukan tadi. Dan
memang terbukti sepanjang zaman, orang yang memiliki dua syarat ini sahaja yang
layak diserahkan kepadanya sesuatu urusan. Jika tidak ditemui, maka
timbangkanlah adakah urusan itu lebih memerlukan kekuatan atau amanah.
Sebagai contoh
Contohnya sifat amanah
lebih utama bagi jawatan bendahari berbanding kemahiran membuat kunci
kira-kira, ilmu dan kefahaman syarie lebih utama bagi seorang imam berbanding
kemahiran mengendalikan laman web, kemahiran merancang dan mengurus lebih
diperlukan bagi seorang pengerusi berbanding sifat sabar, rajin dan cekap
bekerja lebih diperlukan untuk jawatan siak berbanding dengan banyak menghafaz
ayat-ayat al-Quran dan begitulah seterusnya. Maka kita perlu bijak meletakkan
nisbah keperluan tersebut agar pilihan tepat dan orang yang lebih layak sahaja
dipilih.
Situasi sekarang
Memandangkan sukar
menemui individu yang terkumpul padanya kuat dan amanah ini, maka saling
lengkap melengkapi dan kuat menguatkan adalah amat perlu. Yang kurang kita
tampung, yang lebih kita tumpang! (Betul ke ungkapan saya ni?) Golongan muda
yang bersemangat perlu berganding dengan golongan veteran yang selalunya lebih
berhikmah, para alim ulamak perlu bergabung dengan golongan teknokrat, kelompok
yang ada kekuatan fizikal perlu menyumbang tenaga menjayakan idea-idea bernas
yang dihasilkan para pemikir… Andaikata semua pihak ikhlas untuk menyumbang dan
beramal, insya Allah akan ada jalan keluar.
Tapi, alangkah
indahnya kalau orang itu memang seorang yang kuat lagi amanah!
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment